London: Pertahanan berpengalaman England, John Stones dilaporkan semakin hampir menyertai juara Serie A, Inter Milan selepas menolak minat beberapa kelab Liga Perdana Inggeris termasuk Arsenal dan Chelsea.
Pemain berusia 32 tahun itu dikatakan sudah mencapai persetujuan secara lisan untuk menyertai Inter secara percuma selepas kontraknya bersama Manchester City berakhir pada penghujung musim lalu.
Stones dijangka menandatangani kontrak selama dua tahun bersama gergasi Itali itu, dengan wakilnya kini menyelesaikan beberapa butiran terakhir sebelum perpindahan rasmi dimuktamadkan.
Keputusan itu menyaksikan Inter memenangi persaingan mendapatkan khidmat bek tengah itu selepas turut mendapat saingan daripada beberapa kelab termasuk Arsenal, Chelsea dan Juventus.
Stones meninggalkan Manchester City selepas sedekad penuh kejayaan di Etihad dengan membantu kelab itu meraih pelbagai trofi utama termasuk enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara UEFA.
Walaupun berdepan masalah kecederaan yang mengehadkan penampilannya bersama City musim lalu, Stones kembali menyerlah ketika Piala Dunia 2026 apabila menjadi sebahagian daripada skuad England yang mara ke separuh akhir.
Perpindahan ke Inter dilihat sebagai peluang baharu buat Stones untuk meneruskan karier di pentas tertinggi Eropah, selain membawa pengalaman luasnya ke dalam skuad juara Itali itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd





