Johor dijangka jadi enjin pertumbuhan untuk Malaysia

Johor dijangka jadi enjin pertumbuhan untuk Malaysia


PETALING JAYA: Johor dijangka menjadi enjin pertumbuhan seterusnya untuk Malaysia, didorong oleh dua projek berimpak tinggi iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City, menurut RHB Investment Bank.

Bank pelaburan itu berkata, bahawa pembangunan pemangkin yang diterajui kerajaan serta kemasukan pelaburan langsung asing dan domestik akan membantu meningkatkan sektor pembinaan, pusat data, tenaga, petrokimia, perindustrian dan pelancongan, di samping limpahan positif kepada pasaran hartanah.

“Kami percaya pertumbuhan ekonomi Johor akan terus melepasi purata negara, didorong oleh sektor pembuatannya yang teguh, kekuatan mampan dalam industri perkhidmatannya, lokasi yang bermanfaat dan infrastruktur dibangunkan dengan baik, serta dasar sokongan daripada kerajaan negeri dan persekutuan.

“Johor mempunyai infrastruktur yang dibangunkan dengan baik termasuk pelabuhan, lapangan terbang, rangkaian jalan raya dan utiliti, dilengkapi dengan kos operasi perniagaan yang kompetitif,” katanya dalam laporan tinjauan pasaran Invest Johor.

Ketika ini, Johor berada di kedudukan sebagai penyumbang ekonomi ketiga terbesar di Malaysia, di belakang Selangor dan Kuala Lumpur, selain penyumbang kedua terbesar kepada perdagangan negara.

“Negeri itu menyumbang 9.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, kira-kira 29 peratus atau RM753.1 bilion daripada jumlah perdagangan negara pada 2023 datang dari Johor.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, RHB Investment Bank berkata pertumbuhan KDNK Johor telah mengatasi purata negara, berkembang sebanyak 4.1 peratus tahun ke tahun pada 2023, berbanding pertumbuhan 3.6 peratus tahun ke tahun Malaysia, dipacu oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, yang menyumbang 84 peratus daripada KDNK negeri.

“Sektor perkhidmatan Johor telah mengalami pertumbuhan terpantas dalam kalangan negeri-negeri Malaysia sejak lima tahun lalu.

“Beberapa faktor ekonomi dan demografi mendorong sektor perkhidmatan di negeri itu, antaranya perbelanjaan pengguna dan perdagangan runcit dirangsang oleh peningkatan kelas pertengahan dan peningkatan pendapatan perkapita,” tambahnya.
Sementara itu, pelabuhan utama seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Johor menyediakan sambungan yang sangat baik untuk aktiviti eksport dan import,” katanya.

PTP menonjol sebagai salah satu pelabuhan paling sibuk di Malaysia dan hab pemindahan penghantaran terbesar, mengendalikan sebahagian besar kontena negara dengan berfungsi sebagai pintu masuk utama untuk perdagangan serantau dan global.

RHB Investment Bank memaklumkan, Johor terus menjadi destinasi pelaburan terkemuka di Malaysia untuk 2023, menarik minat yang ketara daripada pelabur domestik dan antarabangsa.

“Daya tarikan negeri itu didorong oleh infrastrukturnya yang mantap seperti pelabuhan dan rangkaian jalan raya sambil dilengkapi dengan perkhidmatan utiliti serta tenaga kerja yang banyak.

“Pada 2023, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 751 projek di Johor berjumlah RM43.1 bilion, menyumbang 13 peratus daripada angka nasional. Projek-projek ini dijangka mewujudkan 19,053 pekerjaan baharu,” katanya.

Bank pelaburan itu menambah, pengeluaran perkilangan Johor pada 2023 meningkat 2.8 peratus tahun ke tahun, melepasi purata nasional sebanyak 0.7 peratus, dipacu oleh portfolio sektor yang pelbagai termasuk elektrik dan elektronik, automotif dan petrokimia, dengan pelaburan langsung asing yang ketara di wilayah Iskandar Malaysia memperkukuh taman perindustrian dan kehadiran multinasional.

“Zon ekonomi utama ini direka untuk menarik industri bernilai tinggi dan pelabur global, menawarkan insentif cukai, taman perniagaan khusus dan persekitaran kawal selia yang mesra perniagaan,” katanya.

Selain itu, projek RTS Link yang sedang berjalan di Johor, dengan anggaran pelaburan RM3.7 bilion, telah 77.6 peratus siap setakat Mei 2024 dan mengikut jadual untuk memulakan operasi pada awal 2027.

Perkhidmatan rel rentas sempadan ini, menjangkau kira-kira empat kilometer, akan menghubungkan Bukit Chagar (Malaysia) ke Woodlands (Singapura), mampu memuatkan sehingga 10,000 penumpang. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top