KOTA TINGGI: Penganjuran Kejohanan Ironman 70.3 Desaru Coast terus meletakkan Johor unggul sebagai destinasi pilihan pelancongan sukan di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, kerajaan negeri sememangnya memberi fokus kepada produk pelancongan sukan bagi menarik kehadiran pelancong.
“Seperti sedia maklum bahawa sport tourism merupakan antara bidang yang kami beri fokus kerana ia mampu menarik minat pelancong luar untuk berkunjung ke destinasi-destinasi pelancongan di negeri Johor.
“Selain aktiviti sukan, ia juga membuka peluang pendapatan kepada kerajaan negeri Johor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Ironman 70.3 Desaru Coast di Bandar Penawar di sini hari ini.
Mohd. Hairi berkata, penyertaan lebih 900 peserta dari lebih 40 negara membuktikan potensi besar acara itu dalam mempromosikan Johor di peringkat antarabangsa.
“Malahan sebanyak 70 peratus daripada peserta adalah dari luar negara. Ini menunjukkan Johor mempunyai daya tarikan tersendiri dalam kalangan pelancong antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, Johor kini memberi tumpuan kepada kawasan pelancongan seperti Desaru dan Mersing yang terkenal dengan keindahan pantai serta kemudahan penginapan bertaraf antarabangsa.
“Ini merupakan tahun keempat kejohanan ini diadakan di sini dan impaknya cukup besar kepada pembangunan sektor pelancongan serta ekonomi setempat termasuk kepada usahawan tempatan,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan negeri bersama Tourism Johor untuk terus menggerakkan pelancongan sukan di negeri itu. – UTUSAN