Barisan pemain, jurulatih dan pengurusan skuad ragbi Johor meraikan kejayaan muncul naib juara Piala Agong 2025. Foto Kesatuan Ragbi Malaysia
HASRAT Johor menamatkan penantian gelaran Piala Agong sejak 2017 sekali lagi berkecai apabila tewas tipis 17-18 kepada juara bertahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi final sengit di Stadium UM Arena, Universiti Malaya, mengulangi nasib sama tahun lalu.
Biarpun gagal menjinakkan gergasi ragbi tanah air itu, pengendali Johor, Rodney So’oialo menolak tanggapan kononnya pasukannya masih belum menemukan formula kemenangan.
Sebaliknya bekas kapten pasukan All Blacks itu menegaskan struktur permainan skuadnya kini sudah jauh lebih kukuh dan matang.
“Kami beraksi lebih baik daripada apa yang tertera pada papan markah. Cuma PDRM bijak menghukum kesilapan kami di hujung permainan.
“Pemain-pemain saya akan belajar dan bangkit lebih kuat daripada kekalahan ini,” katanya.
Menurut So’oialo, perjalanan Johor dalam membina skuad kompetitif tidak bermula Ahad, sebaliknya usaha memperkukuh asas pasukan dengan menumpukan kepada pembangunan pemain tempatan telah pun menampakkan hasil.
“Prosesnya sudah lama bermula. Johor kini terus memberi keutamaan kepada pembangunan pemain Malaysia dan bantuan pemain asing akan membantu mempercepatkan kemajuan kami.
“Saya percaya pemain tempatan kami bermain lebih baik daripada lawan, dan itu membuktikan pembangunan ragbi Johor berada di landasan yang betul,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui pasukannya perlu belajar mengurus detik-detik genting dengan lebih baik selepas beberapa keputusan pengadil dan kesilapan sendiri membuka ruang kepada PDRM untuk mencuri kemenangan.
“Kami terpaksa beraksi 13 lawan 15 selepas tiga kad kuning yang boleh dipersoalkan, tetapi anak buah saya tetap menyesuaikan diri dan masih mendominasi permainan.
“Kesilapan mudah ketika kehilangan bola di ‘lineout’ pada minit ke-79 menjadi punca kami terlepas peluang. Itu sesuatu yang mudah diperbaiki,” katanya.
Bagi So’oialo, kegagalan tipis dua tahun berturut-turut bukan petanda kemerosotan tetapi bukti bahawa Johor kini semakin hampir dengan puncak yang mereka buru.
“Kami tak kalah dalam semangat. Kami hanya belum selesai dalam perjalanan ini,” ujarnya.
Ringkasan AI
- HASRAT Johor menamatkan penantian gelaran Piala Agong sejak 2017 tidak tercapai setelah kalah 17-18 kepada PDRM
- Pengendali Johor, Rodney So’oialo menafikan pasukannya gagal menemukan formula kemenangan, menyatakan struktur permainan sudah matang
- So’oialo yakin pembangunan pemain tempatan dan bantuan pemain asing akan mempercepat kemajuan pasukan
- Pasukan Johor perlu belajar mengurus detik genting dengan lebih baik, termasuk mengatasi kesilapan mudah
- Kekalahan tipis dua tahun berturut-turut dianggap sebagai pembuktian Johor semakin hampir dengan puncak yang diburu






