Johor kuasa baharu sukan negara – TMJ

Johor kuasa baharu sukan negara – TMJ


PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa Johor kini berada di landasan tepat untuk menjadi peneraju agenda Sport Nation menjelang tahun 2030, hasil pelaburan berterusan dalam pembangunan sukan negeri.

Baginda menzahirkan keyakinan bahawa ekosistem sukan Johor yang semakin pesat berkembang merangkumi pembinaan infrastruktur moden, program pembangunan akar umbi serta penglibatan tokoh sukan bertaraf dunia.

“Johor bukan sahaja sedang membina kemudahan sukan bertaraf dunia, tetapi turut menumpukan usaha melahirkan atlet berkualiti tinggi serta memperkukuh industri sukan agar dapat menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.

“Saya ingin melihat Johor menjadi negeri contoh dalam melaksanakan agenda Sport Nation menjelang 2030,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Pembukaan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di Iskandar Puteri pada Jumaat.

Dalam pada itu, Tunku Ismail bertitah bahawa pelantikan ikon sukan seperti Datuk Lee Chong Wei dan Sonny Bill Williams sebagai Duta Sukan Johor dilihat sebagai strategi berimpak tinggi untuk mempromosikan sukan negeri ke peringkat antarabangsa serta memberi inspirasi kepada generasi muda.

Baginda turut menyeru semua pihak termasuk kerajaan negeri, sektor pendidikan, persatuan sukan, syarikat korporat dan komuniti agar terus berganding bahu memacu kecemerlangan sukan di Johor.



Source link

OR

Scroll to Top