Johor, PDRM terus garang kuasai Piala Agong

Johor, PDRM terus garang kuasai Piala Agong


Antara aksi menarik Terengganu menentang Johor dalam perlawanan Kumpulan B Piala Agong di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus pada Sabtu. Foto: Persatuan Ragbi Negeri Terengganu

NAIB juara musim lalu, Johor mengesahkan status selaku pendahulu Kumpulan B Piala Agong selepas mengekalkan rekod bersih empat kemenangan daripada empat aksi peringkat kumpulan.

Beraksi di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, skuad kendalian legenda New Zealand All Blacks, Rodney So’oialo tampil garang menundukkan tuan rumah Terengganu 47-10, sekali gus menutup kempen kumpulan dengan penuh bergaya.

Kemenangan itu membolehkan Johor mengungguli kumpulan dengan 12 mata, meninggalkan Terengganu dan ATM yang masing-masing mengutip enam mata, manakala Kuala Lumpur dan Pahang sekadar tanpa sebarang mata.

Dalam saingan Kumpulan A pula, penyandang juara PDRM terus mengekalkan prestasi konsisten apabila membenam Selangor 40-12 di Padang Astaka.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas menjelang aksi terakhir bertemu Kelantan.

Kelantan yang bangkit selepas tewas pada aksi pembukaan turut mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila membelasah Kedah 108-5 di Alor Setar.

Aksi itu menjadi tonik buat skuad kendalian Syed Shazril untuk kembali bersaing merebut slot ke peringkat seterusnya.

Sementara itu, dalam satu lagi pertemuan Kumpulan B, ATM menewaskan Kuala Lumpur 26-19 dalam aksi penentuan kedudukan di Havea Arena, RRIM, Sungai Buloh.

ATM masih berpeluang memperbaiki kedudukan apabila berdepan Terengganu di padang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kem Sungai Besi Kuala Lumpur, sambil berharap kelebihan gelanggang sendiri dimanfaatkan sepenuhnya.

Ringkasan AI

  • Naib juara musim lalu, Johor mengesahkan status selaku pendahulu Kumpulan B Piala Agong dengan rekod empat kemenangan daripada empat perlawanan
  • Johor menang besar menentang Terengganu dengan skor 47-10 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail
  • Kemenangan tersebut memastikan Johor mengungguli Kumpulan B dengan 12 mata
  • Penyandang juara PDRM terus mendominasi Kumpulan A dengan kemenangan 40-12 atas Selangor
  • Kelantan mempamerkan kebangkitan dengan kemenangan besar 108-5 ke atas Kedah



Source link

OR

Scroll to Top