Johor sah penganjur bersama Sukan SEA 2027 – Hannah

Johor sah penganjur bersama Sukan SEA 2027 – Hannah


Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kanan) merasmikan KBS MyLadies e-Sports 2024 di Pusat Komuniti Bukit Damansara pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Sabtu mengesahkan Johor akan menganjurkan Sukan SEA 2027 bersama-sama Kuala Lumpur, Sarawak dan Pulau Pinang.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagaimanapun berkata, Johor hanya akan menganjurkan acara bola sepak seperti dipersetujui sebelum ini.

Beliau menyifatkan Johor memiliki infrastruktur dan padang bola sepak terbaik di negara ini.

“Sekarang KBS dah dapat pengesahan untuk Johor menjadi hos bersama Sukan SEA 2027 bagi acara bola sepak, dan ini satu berita baik.

“Kalau bincang mengenai infrastruktur dan padang bola serta stadium (di negara ini) tiada yang boleh menandingi kehebatan Johor. Ini adalah peluang untuk kita pamerkan infrastruktur bola yang di Johor bagi peserta Sukan SEA,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program KBS Myladies Esports 2024 di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, memberi perkenan penganjuran bersama acara bola sepak Sukan SEA 2027 di Johor.

Sementara itu, Hannah memaklumkan senarai negeri yang akan menjadi penganjur bersama sudah dimuktamadkan dan tiada penambahan selepas ini

Beliau berkata, satu mesyuarat jawatankuasa penganjur bakal diadakan pada Januari ini untuk membincangkan berkenaan penganjuran Sukan SEA 2027.

“Dalam mesyuarat itu, kita akan bincangkan jenis sukan yang akan dipertandingkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hannah menyokong penganjuran program KBS Myladies Esports yang bakal menjadi platform untuk mencungkil bakat e-sukan dalam golongan wanita.

Beliau berharap program seperti ini dapat merapatkan jurang antara atlet e-sukan lelaki dan wanita yang masih kelihatan besar ketika ini.

“KBS akan terus menyokong program pembangunan seperti ini bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam arena e-sukan,” katanya. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top