Kuala Lumpur : Johor muncul pasukan terbanyak mengumpul mata keseluruhan pada acara Malaysia Strongest Man & Women 2025 (MSM2025) yang berlangsung di Kompleks Sukan Destar Arena Ampang, baru-baru ini.
Wakil Selatan tanah air itu memungut 67.00 mata mengatasi pencabar terdekat Selangor (40.00) diikuti rapat Sarawak (37.00) dan Kuala Lumpur (26.00).
Peserta wanita Johor menguasai tiga kelompok teratas menerusi Damia Amilsya, Nur Aika Farina dan Nur Anis bagi kategori U70.
Manakala Lam Jia Ding menduduki tempat kedua (Men U80) begitu juga Syahir Osman (Men U105) serta Nur Athirah Hee (Women Open).
Selangor pula menguasai kategori Men Open menerusi Mohd Fazim Ahmad yang dicabar hebat wakil Kuala Lumpur, Zarol Alfiyan dan Adli Arfan Amran (Pahang).
Timbalan Presiden Malaysia Strongestman Association (MSA), Amer Zain berkata kejohanan peringkat kebangsaan itu diadakan setiap tahun sejak dari penubuhan badan sukan ini pada tahun 2017.
Katanya, kejohanan adalah membabitkan persaingan individu mengikut kategori berat badan.
“Walaupun bertanding atas tiket individu namun atlet ini di pilih oleh persatuan negeri dan di hantar sebagai satu pasukan yang mewakili negeri.
“Antara negeri yang turut terbabit adalah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya dan WP Labuan.” katanya.
Tambahnya, kejohanan membabitkan peserta berusia 18 tahun ke atas dengan beberapa kategori mengikut jantina dan berat badan ditetapkan.
“Peserta akan bersaing dalam disiplin yang ditetapkan seperti acara Log press , Deadlift, Duckwalk dan Truck Pull,” ujarnya.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Institut Sukan Negara (ISN), Dr P Vellapandian yang mewakili Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr P Vellapandian menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terbabit dalam penganjuran kejohanan terbabit.
Menurutnya, ia bukan sahaja mengiktiraf kekuatan fizikal dan ketahanan mental tetapi juga memupuk semangat juang serta kesungguhan atlet negara.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) amat berbangga dapat menyokong penganjuran ini melalui Geran Padanan Sukan (GPS) sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan sukan kekuatan di Malaysia,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penaja utama seperti Enrich Fitness, Optimum Flex Sport Nutrition dan Strength Sifoo Academy di atas sokongan padu terhadap kejohanan serta Kompleks Sukan D’Star Arena yang menjadi lokasi rasmi pertandingan berprestij itu.
Pada majlis itu MSA menerima bantuan GPS RM65,000 daripada KBS yang disampaikan Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Pembangunan Sukan), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Jasalilawadi Jahi kepada Presiden MSA, Zainurizzaman Moharram.
Hadir sama Setiausaha Agung MSA Datuk Ahmad Zaki Jinlapudin serta Ahli Jawatan Kuasa MSA.
Sokongan geran berkenaan bukan sahaja memperkukuh pembangunan sukan kekuatan di negara ini malah membuka lebih banyak peluang kepada atlet tempatan untuk melangkah ke peringkat antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd





