‘Jojo ada masa depan cerah, tetapi dia ego dan pandang rendah saya’ – Paez

‘Jojo ada masa depan cerah, tetapi dia ego dan pandang rendah saya’ – Paez


Paez (kanan) menewaskan Johan dalam pertarungan tiga pusingan.

PETARUNG Colombia-Amerika, Diego Paez mengakui bahawa bintang muda Malaysia, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo, mempunyai potensi besar dalam sukan seni bela diri selepas aksi sengit dalam ONE Fight Night 32 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Sabtu lalu.

Dalam pertarungan tersebut, Johan dilihat lebih agresif melancarkan serangan, namun keputusan berpihak kepada Paez yang menang menerusi split decision selepas tiga pusingan dalam kategori flyweight itu.

“Saya tak banyak bercakap, saya cuma menikmati kejayaan. Tapi Jojo adalah lawan yang saya hormati dan saya percaya dia ada masa depan yang cerah.

“Saya doakan yang terbaik buat dia. Dia ada pasukan yang bagus,” katanya kepada Bangkok Post selepas perlawanan.

Bagaimanapun, dalam masa sama, Paez percaya bahawa Johan telah memandang rendah keupayaannya dan mendakwa lawannya itu bertarung dengan dibuai ego.

“Saya tahu dia berlawan dengan penuh ego, dan saya dapat lihat dengan jelas.

“Dia seolah-olah tidak mengendahkan saya dan fikirkan perkara yang akan datang. Itu sebabnya saya katakan sebelum pertarungan bahawa saya hanya fokus.

“Saya percaya kepada diri sendiri dan gembira dapat lakukan ini menentang nama besar seperti dia. Saya tahu organisasi sangat minat pada dia. Dia ialah ‘budak emas’ mereka.

“Mereka banyak melabur untuk promosikan dia dalam pertarungan ini. Tapi saya harap saya dah berjaya raih sedikit penghormatan,” ujarnya lagi.

Paez turut mendedahkan bahawa dia berasa tidak pasti ketika menunggu keputusan diumumkan oleh pengacara gelanggang, Dom Lau, memandangkan tumpuan lebih banyak diberikan kepada Johan sebelum itu.

“Saya rasa saya yang lebih banyak pilih pukulan bersih yang mengenai sasaran. Tapi sebelum ini pun saya pernah rasa saya menang, tapi keputusan tak berpihak pada saya.

“Kali ini, dengan promosi besar-besaran terhadap Johan, saya sendiri tak pasti ke mana keputusan akan berpihak.

“Tapi syukur apabila pengadil benar-benar adil. Rasa macam mimpi jadi kenyataan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top