Jojo sahabat terbaik Mimi Fly dan Sabhi Saddi

Jojo sahabat terbaik Mimi Fly dan Sabhi Saddi



norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, Mimi Fly, 39, dan Sabhi Saddi, 41, yang pernah menganggotai One Nation Emcees (ONE) menyifatkan sahabat mereka, Allahyarham Jojo atau Nur Hasan Balas, 48, yang meninggal dunia semalam adalah seorang yang sangat baik.

Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham berkata, perkenalan dan persahabatan baik dengan Allahyarham sangat dihargai dan akan terus dikenang selamanya.

“Terima kasih Jojo. Saya bertuah sebab dapat mengenali Jojo. Kalau tak kerana Jojo, mungkin saya tak kenal apa erti cinta dan persahabatan. Saya akan ingat sampai bila-bila.

“Pengakhiran yang menyentuh jiwa buat Jojo. Yang tinggal adalah pengakhiran kita. Saya doakan sejahtera buat semua,” katanya.

Mimi yang sebelum ini masih berkomunikasi dengan Allahyarham menerusi kiriman mesej berkata, sahabatnya itu seorang yang tidak pernah bersikap kasar dan penuh dengan kasih sayang.

Jojo juga ada mengirim mesej kepada Mimi bagi mengucapkan tahniah dengan kejayaan lagu Angkat yang baru dilancarkan awal Januari lalu.

“Lagu Angkat itu berhantu la. Dari semalam sampai sekarang teringat-ingat. Sangat-sangat suka,” kata Jojo dalam mesej terakhirnya kepada Mimi.

Sementara itu, Sabhi berkata, dia menganggap Jojo sebagai saudara kerana sikap Allahyarham yang baik dan selalu memberi kata-kata semangat positif.

“Seorang sahabat dan juga seorang abang bagi saya. Banyak perjalanan yang sudah kami lalui bersama. Sekarang masanya untuk Jojo berehat.

“Rehatlah Jojo. Kamu pergi dengan baik. Semoga Allah terima segala amalan kamu. Saya mohon doakan roh sahabat saya Jojo dicucuri rahmat,” katanya.

Persahabatan baik antara mereka bertiga membuatkan Sabhi, Mimi dan Jojo pernah berkumpul meraikan hari jadi bersama kerana Allahyarham juga seorang yang suka makan.

Semalam, Jojo meninggal dunia kira-kira jam 1 petang apabila tiba-tiba rebah selepas pembacaan doa penutup program Ijtimak Dakwah disertainya di Masjid Jamek Sri Petaling selama tiga hari.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Jalil, kira-kira jam 6.45 petang semalam selepas dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Sri Petaling.

Allahyarham yang menetap di Taiping juga berkhidmat sebagai bilal di Masjid Hanafi, di sini, meninggalkan seorang balu iaitu Siti Rohayu, 38, dan anak perempuan, Mariam, 7.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top