Jojo, Superlek bakal gegarkan Wilayah Pahlawan 2025

Jojo, Superlek bakal gegarkan Wilayah Pahlawan 2025


KUALA LUMPUR – Kejohanan Wilayah Pahlawan International Muay Thai Championship 2025 bakal menjadi acara sukan tempur paling dinanti-nantikan apabila dua bintang besar dunia Muay Thai, Johan Ghazali atau Jojo dan Superlek Kiatmoo9, hadir membuat penampilan istimewa dalam acara yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 22 Februari ini.

Johan, sensasi sukan Muay Thai Malaysia yang kini mencipta nama di pentas antarabangsa, dijangka menjadi tarikan utama malam itu. Kejayaan luar biasanya dalam ONE Championship telah meletakkan namanya sebagai antara prospek paling berbakat dalam dunia Muay Thai.

Kehadirannya dalam Wilayah Pahlawan 2025 bakal menjadi momen istimewa buat peminat tempatan yang ingin melihat lebih dekat bintang kelahiran Sarawak ini.

Selain itu, kejohanan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Superlek Kiatmoo9, legenda Muay Thai dari Thailand yang kini bergelar juara dunia. Dikenali dengan ketangkasan dan teknik serangannya yang tajam, Superlek bakal membuat penampilan khas dalam acara ini, memberi peluang kepada peminat sukan tempur tempatan untuk bertemu dan mengenali lebih dekat antara ikon terbesar dalam dunia Muay Thai.

Menurut penganjur Wilayah Pahlawan 2025, Muhammad Faizol Mohd Mokhtar, kejohanan ini bukan sekadar satu kejohanan biasa, tetapi platform untuk menaikkan sukan Muay Thai di Malaysia serta memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Platform untuk menaikkan sukan Muay Thai dan pelancongan di Malaysia serta memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi. Ia juga turut disokong Tourism Malaysia dan menjurus kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Malah kejohanan ini juga menyaksikan buat julung kalinya seminar Muay Thai bersama petinju nombor satu dunia diadakan di Malaysia,” katanya.

Antara yang bakal beraksi dalam kejohanan ini termasukMiki Ghazali, adik kepada Johan, yang semakin mencuri perhatian dalam dunia Muay Thai tempatan.

Selain pertarungan sengit antara petarung dari dalam dan luar negara, penonton juga akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi bertemu peminat bersama Johan dan Superlek, pameran Muay Thai serta jualan barangan eksklusif kejohanan.

Wilayah Pahlawan 2025 bakal menjadi pentas penuh aksi, debaran dan semangat juang yang tidak boleh dilepaskan.

Tiket kini sudah mula dijual dan peminat Muay Thai disarankan untuk mendapatkannya segera bagi mengelakkan kekecewaan.



Source link

OR

Scroll to Top