SKUAD badminton negara dituntut mengekalkan momentum semasa saingan awal peringkat kumpulan selepas melangkah ke suku akhir Piala Sudirman pada Jumaat.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen, mengakui laluan getir menanti anak buahnya di fasa kalah mati, namun optimis pasukan mampu menggalas cabaran dengan baik sekiranya mengekalkan disiplin dan semangat juang tinggi.
“Sejujurnya tidak banyak perubahan yang perlu dilakukan menjelang suku akhir.
“Apa yang penting, setiap pemain perlu meningkatkan tahap agresif dan kekal percaya pada kemampuan mereka.
“Saya yakin, selagi elemen ini berjaya dikekalkan, kita mampu mencipta keputusan positif walaupun saingan di pentas suku akhir pastinya lebih sengit,” katanya selepas perlawanan.
Skuad negara mengesahkan slot ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan C, selepas tewas 2-3 kepada pasukan pilihan, Jepun di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, China pada Khamis.
Malaysia yang memburu kemenangan bersejarah ke atas Jepun mengutip mata pertama menerusi gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan kombinasi bidan terjun atau scratch pair Hiroki Midorikawa-Arisa Igahashi 21-19, 21-18 dalam 39 minit.
Momentum itu diteruskan oleh perseorangan lelaki Leong Jun Hao yang mengejutkan pemain di ranking kelapan dunia Kodai Naraoka 21-8, 13-21, 21-18 untuk menggandakan mata buat skuad negara.
Pemain berusia 25 tahun itu berkata beliau mengekalkan strategi sama seperti sebelum ini untuk berdepan jaguh Jepun itu, yang terbukti berkesan sekali gus memberikan kemenangan keempat daripada lima pertemuan dengan Naraoka.
Perseorangan wanita Jepun Tomoka Miyazaki mula mencalar kecemerlangan Malaysia apabila mengatasi Goh Jin Wei 21-14, 21-17 sebelum Taruko Hoki-Yugo Kobayashi menyamakan kedudukan apabila menewaskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-12, 20-22, 21-23.
Beregu wanita kedua dunia Nami Matsuyama-Chiharu Shida muncul wira apabila menyumbang mata kemenangan Jepun, menewaskan gandingan negara Pearly Tan-M Thinaah 21-18, 18-21, 21-18 dalam pertarungan selama satu jam 23 minit.
Malaysia sebelum ini menjinakkan Perancis 5-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan C sebelum menewaskan Australia 4-1 pada aksi kedua.