Mintah. Foto Kuching City FC
PENYERANG Kuching City FC, Jordan Mintah sah menjadi pemain bola sepak terbaharu yang dinaturalisasikan sekali gus memberikan nilai tambah penting buat pasukan kelab itu dan Harimau Malaya.
Perkembangan mengenai kelulusan naturalisasi Mintah itu diumumkan kelab Kuching City dalam satu kenyataan di laman Facebook mereka pada Jumaat.
“Proses naturalisasi beliau telah selesai dan kini Jordan layak didaftarkan sebagai pemain tempatan.
“Sebuah langkah besar untuk beliau, dan juga berita gembira buat semua penyokong. Tahniah diucapkan kepada Jordan!,”kata kuching City FC.
Pemain berusia 28 tahun kelahiran Ghana itu memulakan karier di Liga Malaysia bersama Terengganu FC II pada 2020 sebelum dipinjamkan ke Kuala Lumpur City pada 2022 sehingga tamat musim.
Mintah yang juga antara peledak berbisa dalam saingan Liga Super itu kemudian kembali menyarung jersi Terengganu sebelum berhijrah ke Kuching City pada tahun lalu.
Dengan status baharunya sebagai rakyat Malaysia, Mintah bakal memberikan lebih banyak pilihan kepada ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski untuk memperkuatkan barisan serangan skuad kebangsaan.
Untuk rekod, Harimau Malaya sebelum ini memiliki lapan pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Endrick dos Santos, Romel Morales, Paulo Josue, Sergio Aguero dan Lee Tuck.