BIARPUN tidak lagi beraksi untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi musim 2025/26, namun tonggak pertahanan, Jordi Amat tetap mendoakan kejayaan berpanjangan buat skuad Harimau Selatan itu.
Dalam satu hantaran di laman Facebook peribadinya, pemain berusia 33 tahun itu berkata, sepanjang beraksi bersama JDT, beliau telah melalui pelbagai pengalaman termasuk mengecap banyak kejayaan.
“Hari ini, saya menutup lembaran yang amat penting dalam kerjaya saya. Saya mengucapkan selamat tinggal kepada JDT FC, namun saya membawa bersama pengalaman dan kejayaan bertahun-tahun yang akan kekal bersama saya buat selama-lamanya.
“Di Johor, saya bukan sahaja berkembang sebagai seorang pemain, tetapi yang paling utama sebagai seorang insan. Saya pergi dengan perasaan bangga, tetapi juga bersyukur kerana di sini keluarga saya dan saya benar-benar berasa seperti di rumah.
“Saya mendoakan yang terbaik kepada Johor FC untuk masa hadapan. Semoga kejayaan terus berpanjangan dan semoga kelab ini terus membuktikan kehebatannya,” katanya.
Untuk rekod, Jordi yang dilaporkan pernah bersama Espanyol, Swansea City, Rayo Vallecano dan Real Betis menyertai Harimau Selatan daripada kelab Belgium, KAS Eupen pada 29 Jun 2022 dengan menyarung jersi nombor 55.
Pemain berdarah campuran Indonesia-Sepanyol itu juga merupakan antara watak penting dalam melakar kejayaan bersama JDT dengan merangkul kesemua kejuaraan domestik melibatkan Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.
Jordi kini dilaporkan bakal menyertai saingan utama Indonesia untuk musim seterusnya dan kelab Persija Jakarta kini dikaitkan selaku destinasi baharu buat pertahanan JDT tersebut.
Berdasarkan statistik, Jordi telah beraksi untuk 66 perlawanan, menjaringkan tiga gol dan melakukan enam ‘assist’ selama beraksi dengan skuad Harimau Selatan itu.
Sementara itu, Jordi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantunya selama dia bersama JDT.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih terutamanya kepada para peminat yang telah menyokong kami melalui saat-saat sukar dan meraikan semua kejayaan besar.
“Tidak lupa juga kepada staf teknikal, fisioterapi, cef dan rakan sepasukan saya kerana tanpa mereka semua ini tidak akan menjadi kenyataan serta kepada bos yang mempercayai saya dan membantu saya menyerlahkan potensi diri,” katanya.