amir_hamid@mediaprima.com.my
Pada 2017, ketika industri e-hailing mula melebarkan sayap, seorang lelaki duduk di belakang stereng kereta dengan satu tujuan ringkas iaitu mencari rezeki.
Namun, siapa sangka, setiap pusingan tayar dan setiap penumpang yang dibawa menjadi ‘universiti kehidupan’ yang akhirnya membawa suara lelaki ini bergema hingga koridor tertinggi negara, Parlimen Malaysia.
Masrizal Mahidin atau lebih dikenali dengan nama ‘Jose Rizal’ dalam kalangan komuniti pekerja gig, bukan nama asing.
Sebagai Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), beliau adalah simbol keberanian dan kecekalan.
Perjalanannya bukan sekadar ilmu aplikasi di telefon pintar, tetapi mengenai maruah dan perlindungan buat ribuan wira tidak didendang di jalanan.
“Bagi saya, perjalanan dalam dunia e-hailing sebenarnya bermula dengan sesuatu yang sangat sederhana iaitu mencari rezeki seperti orang lain.
“Sekitar 2017, ketika industri e-hailing di Malaysia mula berkembang pesat, saya sendiri turun ke jalan raya sebagai pemandu e-hailing.
“Pada waktu itu, ramai melihat platform ini sebagai peluang baharu untuk menjana pendapatan secara fleksibel. Saya juga tidak terkecuali,” katanya.
Di jalan raya bertemu pelbagai cerita kehidupan
Mengimbas kembali detik awal dalam industri ini, Masrizal mengakui bahawa e-hailing pada mulanya dilihat sebagai ruang ekonomi fleksibel.
Namun, realiti di lapangan jauh lebih kompleks.
“Apabila kita sendiri berada di jalan raya setiap hari, membawa penumpang dari satu lokasi ke satu lokasi lain, kita mula melihat dunia dengan perspektif berbeza.
“Saya bertemu penuntut yang mengejar masa depan, pekerja yang pulang lewat malam dan rakan pemandu yang bekerja siang malam demi menyara keluarga,” katanya.
Daripada pemerhatian itu, Masrizal menyedari satu jurang besar.
Walaupun pekerja gig menjadi tulang belakang mobiliti bandar dan ekonomi digital, suara mereka sering tenggelam dalam arus teknologi.
Mereka bekerja, namun perlindungan masa depan mereka masih samar.
Lahirnya suara GEM
Kesedaran itu membawa kepada penubuhan Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM).
Bagi Masrizal, GEM bukan sekadar organisasi formal sebaliknya ia adalah gerakan komuniti.
“Saya mula berkongsi maklumat dengan rakan-rakan, membantu mereka memahami polisi aplikasi dan memastikan mereka tidak berasa sendirian menghadapi cabaran industri.
“Kekuatan kami adalah solidariti,” jelasnya.
Pada masa sama, dia sering menekankan bahawa advokasi bukan mengenai siapa yang paling lantang, tetapi bagaimana membawa realiti jalan raya ke meja perbincangan dasar.
Detik bersejarah: RUU Pekerja Gig 2025
Kemuncak kepada perjuangan bertahun-tahun kebelakangan ini akhirnya membuahkan hasil apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 diluluskan.
Bagi Masrizal, itu adalah pengiktirafan tertinggi buat komuniti yang selama ini dianggap umpama ‘halimunan’ dalam perundangan buruh.
“Ini bukan kemenangan individu. Ini adalah simbol bahawa suara pekerja biasa boleh sampai ke Parlimen apabila kita bersuara secara kolektif dan berprinsip.
“Kita datang dari jalan raya, maka kita tidak boleh melupakan suara jalan raya,” tegasnya.
Walaupun undang-undang sudah diwartakan, Masrizal tidak melihatnya sebagai titik penamat.
Sesuai dengan slogan perjuangannya, ‘Our New Chapter Begins Now’, dia kini fokus memastikan pelaksanaan undang-undang berkenaan benar-benar memberi impak kepada perlindungan sosial, latihan kemahiran dan literasi kewangan pekerja gig.
Keluarga tunjang kekuatan
Di sebalik ketegasan menyuarakan hak di jalanan mahupun di Parlimen, Masrizal tetap individu yang meletakkan keluarga sebagai keutamaan.
Sokongan padu daripada isteri dan anak-anak adalah ‘bahan bakar’ yang memastikan dia terus konsisten.
Baginya, perjuangan ini adalah satu amanah sosial. Sifat empatinya terserlah apabila sering meluangkan masa menyantuni rakan-rakan pemandu yang diuji dengan masalah kesihatan atau terbabit kemalangan.
“Selagi ada pekerja gig yang bekerja keras demi kehidupan, selagi itu suara mereka perlu dibawa ke hadapan.
“Kisah perjuangan ini masih ditulis dan kita melakukannya bersama-sama,” katanya mengakhiri perbualan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






