IMPIAN gergasi Scotland, Celtic untuk terus mengukuhkan barisan serangan menerima tamparan hebat apabila pemain sayap lincah, Jota, bakal diketepikan antara enam hingga sembilan bulan akibat kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).
Pengendali Celtic, Brendan Rodgers mengakui, berita buruk itu menyaksikan beliau menggariskan keperluan mendesak kelab untuk memperkuatkan jentera serangan dalam jendela perpindahan musim panas.
Pemain berusia 26 tahun itu, yang kembali menyertai juara Scotland itu dari kelab Ligue 1 Perancis, Rennes pada Januari lalu, mengalami kecederaan ketika membantu pasukannya membelasah Dundee United 5-0.
Jota terpaksa meninggalkan stadium menggunakan tongkat pada minit ke-35 perlawanan di Stadium Tannadice Park, ketika Celtic mengesahkan gelaran Liga Perdana Scotland keempat berturut-turut.
“Malangnya, ini bukan berita baik buatnya mahupun buat kami.
“Ia tidak kelihatan seteruk itu, tetapi selepas imbasan dilakukan, nampaknya dia mungkin akan berehat antara enam hingga sembilan bulan.
“Dia mengalami koyakan ligamen krusiat dan sedikit kerosakan lain di dalamnya. Namun, dia agak positif dan menerima keadaan ini dengan tenang,” kata Rodgers.
Jota sebelum ini mempamerkan impak besar dalam tempoh pertamanya bersama Celtic, awalnya sebagai pemain pinjaman dari kelab Portugal, Benfica.
Namun, selepas dijual ke kelab Arab Saudi, Al-Ittihad pada 2023, dia gagal mendapat tempat dalam skuad kelab itu dan kemudian di Rennes.
Sejak kembali ke Glasgow, Jota telah membuat 16 penampilan, sembilan daripadanya sebagai pemain kesebelasan utama, dan menjaringkan lima gol.
Rodgers mendedahkan bahawa mereka sebenarnya menjangkakan Jota akan terus meningkatkan prestasinya selepas menjalani pramusim yang sangat baik untuk memperbaiki tahap kecergasannya.
“Malangnya, kecederaan ini telah mengganggu perkembangan itu…
“Dia melalui beberapa tahun yang mencabar selepas perpindahannya dari sini ke Arab Saudi, tetapi saya harus katakan, dia pemain yang sangat positif dan saya yakin dia akan kembali daripada kecederaan ini sebagai individu dan pemain yang lebih kuat,” kata Rodgers.