JPJ laksana Ops Khas Aidilfitri bermula 24 Mac

JPJ laksana Ops Khas Aidilfitri bermula 24 Mac



lizamridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperketatkan penguatkuasaan terhadap sembilan kesalahan utama menerusi Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2025, yang bermula 24 Mac hingga 8 April di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah ini penting dalam menangani kadar kemalangan jalan raya yang sering meningkat ketika musim perayaan, terutama membabitkan penunggang motosikal dan kenderaan berat.

Beliau berkata, antara kesalahan yang menjadi fokus utama JPJ termasuk tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Di samping itu, JPJ juga menjalankan pemeriksaan kenderaan komersial di terminal utama bagi memastikan orang awam selamat pulang ke destinasi masing-masing, khususnya semasa musim perayaan,” katanya ketika melancarkan program Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-27 di sini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Datuk Jim Khor, Presiden Persatuan Pengedar Skuter dan Motosikal Malaysia (MMSDA) Datuk Wee Hong dan Pengarah Pusat Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Persekitaran (MIROS) Rizati Hamidun.

Menurutnya, statistik menunjukkan hampir 20 peratus daripada kes kematian akibat kemalangan jalan raya berpunca daripada keadaan gelap tanpa lampu, sekali gus membuktikan betapa pentingnya aspek pencahayaan dalam meningkatkan keselamatan di jalan raya.

Beliau berkata, menunggang motosikal pada waktu malam adalah berisiko dan pengguna motosikal perlu memastikan bahawa langkah-langkah keselamatan sentiasa diambil seperti penggunaan vest pemantul cahaya atau memakai pakaian berwarna cerah.

“Selain pencahayaan, gaya tunggangan yang selamat juga perlu dititikberatkan, dan penunggang motosikal digalakkan mengamalkan teknik pemanduan defensif, termasuk mengekalkan jarak selamat, mengurangkan kelajuan di kawasan berisiko, dan sentiasa berwaspada terhadap pergerakan kenderaan lain,” katanya.

Kempen Keselamatan Jalan Raya ini adalah anjuran Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) bersama Persatuan Pengedar Skuter dan Motosikal Malaysia (MMSDA) serta rakan-rakan strategik yang lain, dengan tema tahun ini Terang dalam Gelap – Tunggang Cermat, Perjalanan Selamat,”

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pemeriksaan keselamatan motosikal percuma serta pertukaran topi keledar lama kepada yang baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top