hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 8,322 kenderaan buatan Kia, Yamaha dan Mercedes-Benz dipanggil semula untuk tujuan pemeriksaan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pemanggilan semula itu juga penting bagi mengelakkan kemalangan berlaku disebabkan oleh kecacatan pada struktur, peralatan atau sistem pada kenderaan itu.
Menurutnya, model kenderaan terbabit ialah buatan Kia sebanyak 5,123 model RIO UB; 3,167 kenderaan Yamaha model Tenere 700, Tracer 9 GT dan MT09 serta 32 buatan Mercedes-Benz model S-Class, GLC, AMG SL, EQS dan EQE.
“Setiap pemilik kenderaan terbabit akan dihubungi oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing.
“Justeru, semua pemilik kenderaan model yang terbabit adalah dimohon untuk membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam ini.
Beliau berkata, mana-mana komponen yang terbabit dengan isu berkenaan akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing.
Katanya, maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula ini, pemilik kenderaan boleh hubungi atau kunjungi mana-mana pusat jualan atau perkhidmatan masing-masing yang berhampiran.
“JPJ akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula ini dan komited untuk memastikan kesemua unit kenderaan yang terlibat akan menjalani pemeriksaan dan disahkan selamat,” katanya.
Pemanggilan semula kenderaan itu membabitkan 5,123 KIA Rio UB keluaran 2010 hingga 2017 iaitu kenderaan terbabit berkemungkinan mengalami litar pintas elektrik dan boleh menyebabkan kebakaran pada ‘circuit board Hydraulic Electronic Control Unit (HECU).
Bagi Yamaha, model MT09 (1,649 kenderaan) dan Tracer 9 G (1,369) keluaran November 2021 hingga Februari 2025, membabitkan Throttle Position Sensor (TPS) tidak berfungsi dengan baik, manakala 149 model Tenere 700 keluaran tahun 2023 hingga 2024 ia membabitkan operasi klac tidak lancar dan sukar untuk menukar gear.
Sementara itu, sembilan Mercedes S 580 e, dua Mercedes GLC 300 4MATIC, empat Mercedes EQS 500 dan sebuah Mercedes AMG SL 43 membabitkan kotak fius kemungkinan tidak dibaik pulih dengan betul.
Manakala, bagi model sebuah Mercedes S 580 e, sembilan Mercedes-AMG EQE 53 dan enam Mercedes-AMG EQS 53 pula kotak fius berkemungkinan tidak dibaik pulih dengan sempurna, jika perlu lakukan pengantian.
Bagi model Mercedes-Benz, kesemua kenderaan berkenaan adalah keluaran tahun 2023 hingga 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd