JPN Kelantan mahu lebih ramai murid Orang Asli ke SBP tahun depan

JPN Kelantan mahu lebih ramai murid Orang Asli ke SBP tahun depan


KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan tekad melonjakkan penyertaan murid Orang Asli ke sekolah berasrama penuh (SBP) dengan menyasarkan peningkatan sekurang-kurangnya sekali ganda bagi kemasukan tahun hadapan.

Pengarahnya, Siti Norina Muhamad berkata, usaha itu selari dengan komitmen berterusan pihaknya untuk memastikan golongan berkenaan mampu bersaing setanding murid lain sekali gus mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik.

“Untuk tahun hadapan, kita sasarkan sekurang-kurangnya sekali ganda murid Orang Asli memasuki SBP di negeri ini. Kita mahu mereka setanding dengan murid lain dan terus berjaya dalam pendidikan.

“Kita tidak akan berhenti di sini. Pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk membawa mereka menyertai program Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK),” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pendaftaran Pelajar di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP) di Pengkalan Chepa, hari ini.

Terdahulu tiga pelajar Orang Asli iaitu Nur Muhammad Al Khawarizmi Rosmi, Muhammad Putra Faizul Ab. Ghani dan Elfira Nur Zulhaiza Che Emmie, masing-masing berusia 13 tahun, menerima suntikan semangat apabila dianugerahkan biasiswa RM450 sebulan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Bantuan tersebut akan disalurkan sehingga Tingkatan Lima dan sekiranya mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, bantuan lanjutan akan dipertimbangkan.

Siti Norina memberitahu, pihaknya turut memberi penekanan kepada pengukuhan asas pembelajaran di sekolah masing-masing sebelum murid melangkah ke SBP bagi memastikan mereka benar-benar bersedia dari segi akademik dan mental.

Katanya, bimbingan secara individu akan dilaksanakan sekiranya perlu, hasil kerjasama erat dengan Majlis Pengetua Sekolah Menengah dan Majlis Guru Cemerlang.

“Kita mahu mereka bukan sahaja berjaya memasuki SBP, tetapi mampu bertahan dan cemerlang hingga ke peringkat lebih tinggi demi masa depan yang lebih cerah,” ujarnya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top