am@hmetro.com.my
Kodiang: “Saya terpaksa jual semua sembilan kambing peliharaan, bulan lalu kerana mahu kumpul RM70,000 untuk kos pembedahan membuang tumor yang semakin membesar di kepala.”
Begitu kata Mohamad Nazir Saad, 48, apabila buntu mencari sumber kewangan kerana tabungan belum mencukupi bagi menjalani pembedahan dengan segera.
Mohamad Nazir yang sebelum ini pesawah berkata, dia sebelum ini kerap mengalami sakit kepala berpanjangan selain muntah serta diserang sawan pada Ogos tahun lalu.
Katanya, pada mulanya dia mendapat rawatan di Hospital Tunku Fauziah di Kangar, Perlis sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
“Ada benjolan di leher kiri dan doktor beritahu tumor di kepala saya juga besar dan perlu menjalani pembedahan segera.
“Saya kerap pitam dan penglihatan semakin kabur menyebabkan saya tidak dapat melakukan kerja harian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Kaka, Mukim Ah di sini, semalam.
Menurutnya, isteri, Nor Hasniza Mohd Tahir, 38, membantu mencari sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan keluarga dengan menjual kuih, tetapi pendapatan pula tidak menentu.
Katanya, isterinya turut menghidap penyakit jantung, kolestrol dan darah tinggi menyebabkan dia tidak boleh bekerja kuat.
“Kami ada tiga anak berusia tujuh hingga 14 tahun yang bersekolah dan duit simpanan habis digunakan untuk kos rawatan selain perbelanjaan harian termasuk ibu mentua berusia 78 tahun.
“Doktor beritahu melakukan biopsi, bulan depan untuk mengambil sampel darah bagi mengesahkan sama ada saya menghidap ketumbuhan dalam kepala atau kanser otak,” katanya.
Menurutnya, walaupun sakit, dia memandu sendiri ke hospital.
Katanya, wang bantuan bulanan RM300 daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) RM300 sekadar cukup untuk kegunaan harian mereka.
“Saya tak tahu cara mana lagi nak cari duit untuk kos pembedahan serta rawatan susulan di hospital kerana saya tidak boleh bekerja seperti dulu,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akuan Bank Islam 09010021055994 atas nama Mohamad Nazir Saad.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal menziarahi Mohamad Nazir bagi menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur.
© New Straits Times Press (M) Bhd