SIK: Judi ibarat anasir buruk atau parasit yang boleh mengotorkan serta memusnahkan sesebuah keluarga, masyarakat, agensi, institusi, pertubuhan mahupun negeri dan negara.
Sepertimana seorang tuan rumah menjaga kediamannya yang bersih daripada maksiat, tiba-tiba dikotori oleh tetamu tidak diundang serta membawa keruntuhan keharmonian keluarganya.
Pastinya tuan rumah, malah mana-mana pihak atau individu tidak akan membiarkan rumah dan kepunyaannya dikotori apatah lagi dirosakkan.
Begitulah ke atas sebuah negeri yang harmoni, tidak harus dibiarkan negeri itu tercemar semula dengan najis perosak masyarakat itu.
Perkara itu merupakan antara analogi yang dibawa oleh ADUN Kupang, Brig Jen (B) Dato’ Najmi Ahmad pada ceramah beliau di Pondok Tahfiz, Raudhatul Jannah, Bandar Baru Beris, malam kelmarin.
“Mana-mana tuan rumah sekalipun, walau apa jua kepercayaan agamanya, selagi dia waras, sudah pasti dia akan sedih dan marah apabila ada penceroboh ingin memporak-perandakan isi rumahnya.
“Begitulah analogi yang berlaku di Kedah. Ketika kerajaan negeri sudah pun bertindak menutup sepenuhnya semua premis judi mulai 1 Januari 2023, ada pula pihak yang mencabar kerana tidak senang dengan keharmonian yang dikecapi,” kata beliau.
Tegas beliau, pastinya tiada mana-mana pihak yang sukakan kerosakan sepertimana aktiviti judi yang boleh membawa implikasi buruk seperti keruntuhan rumahtangga dan masalah sosial, juga tidak disukai oleh golongan bukan-Islam.
Judi bidasnya, hanya permainan rakus golongan yang mengambil keuntungan secara menipu, sedangkan pemain bawahan dan jalanan, kayap serta ranap mengira wang ‘rencehan’ saki baki di dalam saku.
Pada malam itu, Najmi dalam ucapannya menyarankan mana-mana individu yang gila judi agar menjadikan Hong Kong sebagai tempat pilihan perjudian di mana negara ini sudah terkenal dengan ‘mesra judi’.
“Mainlah sepuas-puasnya, di sana lebih sesuai untuk kamu (gila judi)
Bukannya di Kedah yang majoritinya umat Islam.
“Selaku tuan rumah, kita tidak akan berdiam diri saja. Yakinlah bantuan Allah pasti hadir di saat kita sedang melaksanakan tuntutan amar makruf nahi mungkar ini.
“Judi bukan sahaja pemusnah keluarga, masyarakat dan negara tetapi juga sampah dunia,” tambahnya.
Ceramah Penerangan Ketetapan Dasar Negeri Kedah Sifar Premis Judi itu turut menampilkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrulrazi.
Juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya dan Pengamal Undang-Undang, Hamdi Ishak mewakili LUHAM. – HARAKAHDAILY 22/7/2024