PORTAL gaya hidup dan hiburan terkemuka Malaysia, JUICE, kembali dengan edisi tahunan ‘JUICE Best Of 2025’.
Ia adalah sebuah inisiatif tahunan bagi meraikan individu, artis serta lokasi yang banyak menyumbang kepada perkembangan dunia muzik, fesyen, gaya hidup dan acara sepanjang tahun 2025.
Selepas kejayaan edisi 2024, kempen tahun ini tampil lebih segar dan berani, selari dengan misi JUICE dalam mengangkat suara kreatif yang membentuk landskap gaya hidup moden tempatan.
Platform ini terus mendukung penggiat seni tempatan baik daripada artis arus perdana hinggalah ke barisan ‘underground’ yang menjadi pencetus trend semasa.
Menurut pasukan editorial JUICE, inisiatif ini bukan sekadar pertandingan untuk mempamerkan populariti.
Sebaliknya, ia memberi pengiktirafan kepada mereka yang berani mencabar norma lama serta membawakan perspektif segar kepada komuniti kreatif Malaysia.
Edisi tahun ini menampilkan empat segmen utama iaitu Muzik, Fesyen, Acara dan Gaya Hidup, dengan kategori popular seperti Best Song, Best Designer, Best Festival, Best Cafe, serta anugerah tertinggi Person of the Year yang diberikan kepada individu paling berpengaruh dalam menggerakkan budaya tempatan sepanjang tahun.
Seiring perubahan gaya hidup masyarakat urban, JUICE turut menampilkan kategori Best Healing Spot, sebagai pengiktirafan kepada trend mencari ketenangan dan ruang ‘escape’ yang semakin menjadi pilihan anak muda hari ini.
Undian dibuka sehingga 20 Disember
Undian kini dibuka kepada rakyat Malaysia melalui laman rasmi JUICE.
Tahun lalu, kempen ini menerima lebih 5,000 undi hanya dalam masa seminggu, membuktikan sokongan tinggi komuniti kreatif tempatan.
JUICE menjangkakan penyertaan lebih besar tahun ini melalui interaksi lebih aktif di platform digital dan media sosial.Orang ramai boleh melayari laman web rasmi JUICE dan mengikuti akaun Instagram mereka untuk kemas kini terkini dan membuat undian kempen ‘JUICE Best Of 2025’.
© New Straits Times Press (M) Bhd






