Munoz – foto Johor Southern Tigers
BIARPUN penampilan sulungnya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) merekodkan detik gemilang kerana berjaya mempertahankan trofi Sultan Haji Ahmad Shah, namun Xisco Munoz tetap enggan mendabik dada.
Ini kerana pengendali berusia 44 tahun kelahiran Sepanyol itu menyifatkan kejayaan tersebut terhasil daripada aksi hebat pemain-pemain berkualiti skuad Harimau Selatan itu sendiri.
“Saya memang bertuah kerana dapat membimbing pasukan yang dibarisi ramai pemain berkualiti dan di sepanjang perlawanan, kami melakukan beberapa transisi permainan.
“Kami cuba mengubah tempo dengan bermain secara pantas dan memperlahankannya semula kerana Selangor dilihat cuba untuk memerangkap kami dengan serangan balas pantas.
“Babak kedua permainan kami mengubah formasi dengan meletakkan dua pemain tengah bagi mengimbangi posisi berkenaan dan menyaksikan kami berjaya mendominasi permainan serta berjaya menjaringkan gol kedua dan seterusnys gol ketiga,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
JDT menang 3-0 hasil jaringan penyerang import baharu, Jairo Da Silva seawal minit pertama disusuli tandukan Eddy Israfilov pada minit ke-63 sebelum Arif Aiman Hanafi meledak gol ketika pada minit ke-70 bagi memastikan trofi Sultan Haji Ahmad Shah terus kekal di Johor.

Kesebelasan utama skuad JDT – foto Johor Southern Tigers
Kemenangan bergaya di depan 32,777 penonton itu juga membolehkan skuad Harimau Selatan membuka kempen Liga Super 2025/26 musim ini dengan tiga mata.
Sementara itu, Munoz berkata, prestasi skuad Harimau Selatan itu perlu dipertingkatkan lagi dan pemain juga tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan pertama ini.
Katanya, JDT kini mempunyai sekurang-kurangnya tujuh atau lapan pemain baharu dan mereka masih dalam proses memahami falsafah dan taktikal yang diterapkan.
“Bagi meningkatkan kualiti permainan setiap perancangan harus dibuat selangkah demi selangkah kerana dalam sukan bola sepak pemain perlu dibentuk dengan corak permainan yang berintensiti tinggi selain bersedia untuk beraksi di pentas kompetitif.
“Setiap hari kami harus perbaiki apa jua kelemahan dan memberi persembahan terbaik apabila beraksi di padang selain taktikal ampuh dan kemenangan pada malam ini memberikan keyakinan khususnya dari aspek mentaliti agar sentiasa berada di tahap yang positif,” katanya.