Julian Alvarez ‘laku keras’

Julian Alvarez ‘laku keras’


PENYERANG sensasi Atletico Madrid, Julian Álvarez kini menjadi rebutan tiga kelab gergasi Eropah iaitu Bayern Munich, Arsenal dan Liverpool menjelang jendela perpindahan musim panas.

Ketiga-tiga kelab tersebut dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan ejen pemain Argentina itu dalam masa terdekat bagi membincangkan kemungkinan perpindahan.

Walaupun baru semusim menyertai Atletico, Álvarez telah mempamerkan prestasi luar biasa dengan menjaringkan 29 gol dan mencipta enam bantuan gol dalam 53 penampilan.

Rekod cemerlang itu menarik minat kelab-kelab elit yang sedang mencari penyerang prolifik. Atletico dikatakan bersedia mempertimbangkan tawaran melebihi 100 juta euro (RM500 juta) untuk melepaskan pemain berusia 24 tahun itu.

Namun, keputusan akhir bergantung kepada persetujuan antara kelab serta keinginan pemain sendiri.

Bayern menyasarkan Álvarez sebagai pengganti jangka panjang kepada Harry Kane.

Walaupun Kane masih menjadi tonggak utama serangan mereka, Bayern mahu memastikan kesinambungan prestasi pasukan dengan membawa masuk penyerang muda berbakat.

Tambahan pula, Álvarez dilihat sebagai alternatif sekiranya mereka gagal mendapatkan Florian Wirtz dari Bayer Leverkusen.

Sementara itu, Arsenal sedang giat mencari penyerang yang terbukti mampu menjaringkan gol secara konsisten.

Meskipun sebelum ini dikaitkan dengan Viktor Gyokeres, perhatian The Gunners kini dikatakan lebih tertumpu kepada Álvarez.

Liverpool turut menyatakan minat terhadap penyerang Atletico itu.

Malah, kelab dari Merseyside itu dilaporkan sedang menimbang kemungkinan melakukan pertukaran pemain melibatkan Darwin Núñez sebagai sebahagian daripada tawaran perpindahan.



Source link

OR

Scroll to Top