Jumpa pistol, peluru dalam serbuan di kilang mi, kuey teow

Jumpa pistol, peluru dalam serbuan di kilang mi, kuey teow


am@hmetro.com.my

Alor Setar: Polis menahan seorang lelaki warga India selepas menemui kelopak peluru dan dua butir peluru dalam serbuan di asrama sebuah kilang memproses mi serta kuey teow di Jalan Semeling, Bedong, Sungai Petani, pada 11 November lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kelopak peluru tanpa peluru dan dua butir kelongsong peluru itu ditemui dalam kotak biru di dalam bilik asrama lelaki berkenaan jam 12.45 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Berikutan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) JSJ IPK Kedah melakukan serbuan di pejabat kilang sama jam 5.50 petang pada 13 November lalu.

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang pejabat, anggota menemui satu beg plastik hijau di celah kota yang di dalamnya mengandungi sepucuk pistol serta satu kelopak peluru tanpa peluru.

“Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan di sebuah pangsapuri di Mukim Kuah, Langkawi pada 15 November kerana disyaki membekalkan senjata api yang dirampas kepada lelaki warga India itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Adzli berkata, semakan rekod mendapati, lelaki tempatan itu mempunyai tiga rekod jenayah termasuk penipuan, ugutan dan bunuh.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan sebelum direman untuk membantu siasatan.

“Dalam serbuan pada 11 November itu juga, polis turut menahan 17 pekerja warga asing yang terdiri daripada dua lelaki warga India, 10 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki dan seorang wanita warga Myanmar.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 53 tahun yang dipercayai tidak mempunyai pas dan permit sah,” katanya.

Adzli berkata, semakan lanjut pada kilang memproses mi, kuey teow itu juga pernah diserbu pihak berkuasa pada 19 Oktober bulan lalu kerana penggunaan logo halal tidak sah.

Beliau berkata, kilang itu pernah diserbu sebelum ini oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berikutan aduan pihak Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) berkaitan penggunaan logo halal tidak sah.

“Dalam serbuan itu, pihak KPDN turut merampas dan menyita pelbagai produk mi kuning, kuey teow dan plastik bungkusan produk berkenaan.

“Tindakan sudah pun diambil di bawah perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 oleh pihak KPDN,” katanya.

Adzli berkata, berdasarkan serbuan yang dilakukan itu, jumlah tangkapan membabitkan seramai 18 orang termasuk lelaki tempatan yang ditahan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 iaitu penalti kerana memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang daripada enam kali.

“Selain itu, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 iaitu penalti kerana memiliki atau membawa senjata dan amunisi tanpa lesen atau permit,” katanya.

Beliau berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu kawalan masuk ke dalam Malaysia, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top