Jun Hao akui masih gementar berdepan Axelsen

Jun Hao akui masih gementar berdepan Axelsen


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui masih berdepan debaran ketika menentang juara Olimpik dua kali, Viktor Axelsen pada aksi pusingan pertama Kejohanan Terbuka Perancis Super 750 di Glaz Arena, Cesson-Sévigné pada Rabu.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata, rasa gementar terutama pada awal set kedua memberi ruang kepada lawannya dari Denmark itu untuk mengawal rentak permainan dan mencuri momentum perlawanan.

“Pada set kedua, saya agak gementar dan terlalu banyak berfikir ketika cuba menyukarkan keadaan, sebab dia memang pemain yang sangat hebat di gelanggang,” katanya selepas perlawanan.

Menurut Jun Hao, jurulatihnya, Kenneth Jonassen banyak membantunya membaca corak permainan Axelsen dengan memberi panduan taktikal namun mengakui masih banyak ruang untuk diperbaiki.

“Jurulatih saya banyak bantu dari segi strategi dan tunjuk ajar tentang apa yang sering dilakukan Axelsen. Saya akan cuba perbaiki kelemahan itu untuk aksi seterusnya,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Jun Hao tumpas 16-21, 15-21 dalam masa 43 minit kekalahan kedua berturut-turut kepada bekas pemain nombor satu dunia itu selepas tewas 12-21, 11-21 di suku akhir Terbuka Singapura Super 750 tahun lalu.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu enggan menjadikan kekalahan itu sebagai alasan untuk berundur sebaliknya melihatnya sebagai pengalaman berharga untuk bangkit lebih kuat.

“Dua jelajah Eropah ini sangat mencabar kerana lawan-lawan berada di tahap tinggi. Ia banyak ajar saya tentang apa yang perlu diperbaiki. Saya akan terus membina dan menambah baik dari situ,” katanya.

Jun Hao turut menegaskan keutamaannya kini adalah memperkukuh aspek kecergasan serta menyesuaikan gaya permainan agar mampu mengekalkan intensiti sepanjang perlawanan.

“Mungkin saya perlu tambah dari segi kelajuan dan stamina supaya boleh kekal konsisten. Sedikit demi sedikit, saya akan tingkatkan kualiti permainan saya,” katanya.

Ringkasan AI

  • Leong Jun Hao mengakui berdebar ketika menentang Viktor Axelsen di Kejohanan Terbuka Perancis
  • Rasa gementar pada awal set kedua memberi peluang kepada Axelsen mengawal permainan
  • Jun Hao mengatakan jurulatihnya, Kenneth Jonassen, banyak membantu dalam strategi permainan
  • Jun Hao kalah dengan skor 16-21, 15-21 dalam perlawanan tersebut
  • Jun Hao menekankan keutamaan pada kecergasan dan menyesuaikan gaya permainan untuk meningkatkan kualiti permainannya



Source link

OR

Scroll to Top