BIARPUN bersendirian dalam acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao enggan berasa gentar untuk mencabar juara bertahan, Alex Lanier dari Perancis dalam aksi pusingan pertama Terbuka Jepun minggu depan.
Lanier yang juga bintang muda Eropah melakar kejutan selepas menumpaskan nama-nama besar tahun lalu dan kini kembali ke Tokyo dengan misi mempertahankan gelaran dalam kejohanan bertaraf Super 750 itu.
Jun Hao sedar corak permainan pantas dan kekuatan fizikal Lanier bakal menguji ketahanan diri, namun enggan memberi laluan mudah kepada pemain pilihan itu.
“Saya rasa tekanan semasa mereka ada atau tidak masih sama. Memang ada tekanan, cuma sekarang ia lebih berat.
“Bagi persediaan (ke Jepun) saya ikut latihan yang diberikan sehingga hari kejohanan. Di Jepun kita akan bersedia dan berbincang bagaimana lawan dia (Lanier) nanti,” kata Jun Hao ketika ditemui media selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara pada Jumaat.
Menggalas reputasi sebagai bekas juara remaja Asia, Jun Hao mengakui pengalaman menewaskan beberapa pemain elit sebelum ini menjadi bekalan penting menentang lawan yang lebih mantap fizikalnya.
Sesi latihan intensif bersama pengarah kejurulatihan kebangsaan, Kenneth Jonassen banyak memberi fokus terhadap aspek luar dan dalam gelanggang, termasuk peningkatan kecergasan serta ketahanan mental.
“Saya juga bebas daripada kecederaan dan fizikal pun sudah bersedia. Jadi saya hanya harap boleh memberi prestasi seperti yang saya nak nanti,” katanya.