Jun Hao miliki karakter juara – Jonassen

Jun Hao miliki karakter juara – Jonassen


Jonassen (kiri) bangga dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan Jun Hao pada BAMTC di China Khamis lalu. Foto Agensi

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mula memperagakan mentaliti menang untuk mencabar nama besar badminton dunia pada masa depan.

Karakter tersebut dipamerkan ketika pemain di tangga ke-28 dunia itu tenang mengharungi situasi sukar yang merupakan ciri utama bagi membina imej bertaraf dunia.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen berkata, kemahiran tersebut adalah salah satu syarat penting pemain elit yang mampu bersaing secara kompetitif pada tahap tertinggi.

“Dia kian memahami kemenangan tidak hanya hadir daripada permainan yang sempurna, namun hasil kebolehan untuk menyesuaikan diri (situasi sukar).

“Mencari jalan (tenang kawal permainan) ketika keadaan tidak berpihak kepadanya,” katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas Yohannes Marcellyno pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di China pada Khamis.

Malah lebih mengagumkan apabila Jun Hao tenang mengejar mata pada set

kedua ketika tercicir 17-20 untuk menang 22-20 bagi mengherat aksi ke set penentuan sebelum mengesahkan kemenangan 21-12.

Jurulatih dari Denmark itu turut bangga dengan semangat juang Jun Hao yang bangkit melawan mengatasi tekanan untuk melakar kemenangan.

“Pada set kedua ketika ketinggalan (17-20), dia percaya masih ada peluang dan berjuang sehingga ke penghujung. Ini tanda seorang pemain yang memiliki mentaliti juara,” katanya.

Jonassen juga optimis pengalaman Jun Hao ketika berdepan aksi sukar mampu menjadi kelebihan buatnya apabila membuat penampilan sulung di Seluruh England di Birmingham dari 11 hingga 16 Mac depan.

“Pemain terbaik dunia sentiasa mencari jalan untuk menang, tanpa mengira corak permainan mereka ketika itu.

“Keupayaan untuk bereksperimen merupakan kunci kejayaan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top