PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui kecewa selepas terkandas di suku akhir Terbuka Hong Kong Super 500 pada Jumaat.
Jun Hao tewas dalam pertarungan sengit tiga set kepada pilihan kedua dari China, Li Shi Feng, 20-22, 21-14, 20-22 di Hong Kong Coliseum.
Menurutnya, permainan sudah mengikut perancangan namun beberapa mata penting di hujung set penentuan memihak kepada lawan.
“Apa yang saya rancang memang menjadi, tapi akhirnya tinggal 1-2 mata sahaja yang membezakan. Mungkin masih belum cukup baik lagi saya buat,” katanya kepada Badminton World Federation.
Ditanya mengenai peluang yang terlepas ketika berpeluang meraih mata penamat, Jun Hao menegaskan tidak gementar tetapi sudah memberikan segala usaha yang terbaik.
“Saya rasa di penghujung itu pun saya sudah paksa diri dan cuba apa yang mampu. Mungkin rezeki tidak berpihak selain juga faktor tuah,” ujarnya.
Mengulas persiapan menghadapi kejohanan seterusnya, Jun Hao menegaskan, beliau akan segera pulih fizikal dan mental menjelang China Masters Super 500 di Arena Shenzhen pada 16 hingga 21 September.
“Saya akan cuba jaga apa yang ada, gunakan masa beberapa hari ini untuk recovery dan cuba lagi di sana,” katanya.
Sementara itu, beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menepati status pilihan kedua apabila mara ke separuh akhir selepas menundukkan rakan senegara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, straight set 21-12, 21-15.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King apabila terkandas selepas tewas dalam pertarungan sengit tiga set menentang pilihan kelapan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Wan Arif -Roy King tewas 14-21, 22-20, 16-21 dalam tempoh sejam empat minit, sekali gus merekodkan kekalahan kedua berturut-turut dalam pertemuan menentang pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2025 berkenaan.
Ringkasan AI
- Leong Jun Hao kecewa gagal ke separuh akhir Terbuka Hong Kong Super 500
- Jun Hao tewas kepada Li Shi Feng dari China dalam pertarungan tiga set
- Jun Hao akui permainan mengikut perancangan tetapi gagal di mata penting
- Jun Hao berhasrat pulih untuk China Masters Super 500 di Arena Shenzhen
- Pearly Tan-M Thinaah mara ke separuh akhir, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King terkandas