Aksi pelumba pada perlumbaan Moto3 MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2024 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini. Foto Bernama
PELUMBA Moto2 negara, Muhammad Helmi Azman mengakui jurang prestasi antara pelumba Malaysia dan antarabangsa untuk berada di kedudukan terbaik pada perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia, masih jauh.
Pelumba berusia 25 tahun itu berkata, ia berdasarkan prestasi beliau dan seorang lagi pelumba negara Khairul Idham Pawi, yang beraksi menerusi tiket peluang khas pada perlumbaan berprestij yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sejak Jumaat.
“Pada perlumbaan ini saya bergelut untuk berlumba dengan juara dunia dan sebagainya, mereka bukan tahap saya, saya dilahirkan daripada Alternative Riding Club (ARC) dan Cub Prix, dan ini adalah Moto2.
“Walaupun ini litar kita, kita perlu akui, kita masih jauh,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan Moto2 di SIC di sini hari ini.
Muhammad Helmi yang beraksi untuk pasukan Petronas MIE Racing RW sekali lagi mengalami kekecewaan, selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-23, setelah ketinggalan +49.239 saat (s) di belakang juara pelumba Red Bull KTM Ajo Celestino Vietti (36 minit 06.629s).
Khairul Idham pula terlepas peluang beraksi selepas patah tangan kiri dan cedera pada bahagian kaki susulan kemalangan di penghujung perlumbaan pusingan kelayakan 1 semalam.
Mengulas mengenai perlumbaan hari ini, Muhammad Helmi berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan, sekurang-kurangnya mampu memperbaiki catatan masa dan kedudukan pada perlumbaan ini.
“Saya berpuas hati sebab saya berlumba pada tahap agak maksimum berbanding hari pertama dan semalam. Saya juga banyak meningkat berbanding tahun lepas, dan sasaran masa sepusingan saya dah tercapai,” katanya. – Bernama