PETALING JAYA: Seorang jurugambar lelaki yang menyerang dan mencederakan pasangan pereka fesyen di sebuah hotel di sini malam semalam akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, suspek berusia 30-an itu ditahan di lokasi kejadian sejurus selepas insiden.
“Polis menerima dua laporan kira-kira pukul 11 malam daripada mangsa masing-masing berusia 53 dan 47 tahun yang cedera di bahagian pipi akibat diserang menggunakan kamera yang dipercayai dijadikan senjata oleh suspek.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian berpunca daripada isu peribadi antara suspek dan kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama dua hari sejak semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
“Kita telah melengkapkan siasatan dan mendapat arahan untuk menuduh suspek di mahkamah esok,” ujarnya.
Terdahulu, pasangan pereka fesyen itu tidak menolak kemungkinan masalah hutang menjadi punca mereka diserang secara tiba-tiba oleh suspek dalam sebuah acara di Petaling Jaya.
“Polis mengingatkan orang ramai agar tidak bertindak melanggar undang-undang dan menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya. – UTUSAN