PENGENDALI pasukan Itali, Gennaro Gattuso mengakui hatinya remuk melihat perang yang sudah berlarutan selama dua tahun di Gaza menjelang dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 yang bakal dihadapi pasukan Azzurri termasuk satu perlawanan menentang Israel.
Itali dijadual menentang Estonia di Tallinn pada Ahad ini, namun tumpuan utama terarah kepada pertemuan menentang Israel di Udine pada Rabu depan selepas demonstrasi besar-besaran menyokong Palestin diadakan di seluruh Itali minggu lalu.
Pada Jumaat hari yang turut menyaksikan mogok umum sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin, para penunjuk perasaan berhimpun di pusat latihan pasukan kebangsaan Itali di Florence bagi mendesak perlawanan itu dibatalkan. Lebih banyak protes dijangka diadakan di Udine menjelang perlawanan minggu hadapan.
“Kami tahu kami perlu bermain kerana jika tidak, kami akan tewas 3-0… Tapi saya ulang sekali lagi, amat menyedihkan melihat apa yang berlaku kepada orang tidak berdosa, khususnya kanak-kanak. Hati saya sangat terluka melihat semua itu,” kata Gattuso.
Itali sebelum ini menjadi lokasi kepada antara protes terbesar di Eropah hujung minggu lalu bagi membantah serangan berterusan Israel di Gaza.
Namun, berikutan jumlah korban dan kemusnahan yang semakin meningkat di Gaza, gesaan supaya Israel digantung daripada menyertai acara sukan antarabangsa semakin lantang disuarakan.
Jualan tiket bagi perlawanan menentang Israel juga dilaporkan perlahan, dengan banyak ruang kosong dijangka kelihatan di Stadium Bluenergy yang akan menjadi tumpuan kawalan keselamatan besar-besaran.
“Suasananya pasti tidak mudah kerana akan ada sekitar 10,000 orang di luar stadium dan hanya 5,000 hingga 6,000 di dalamnya.
“Kami mahu layak ke Piala Dunia dan saya lebih suka bermain di tempat sendiri di hadapan penyokong yang bersemangat seperti di Bergamo (ketika menang 5-0 ke atas Estonia) sebulan lalu,” katanya.
Itali, yang gagal layak ke dua edisi terakhir Piala Dunia, kini berada di tangga kedua Kumpulan I dengan sembilan mata sama seperti Israel dan enam mata di belakang pendahulu kumpulan, Norway, namun mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Hanya pasukan yang menjuarai kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada manakala pasukan di tempat kedua perlu melalui saingan play-off.
Pada September lalu, Itali menewaskan Israel 5-4 dalam perlawanan tegang yang berlangsung di Hungary iaitu negara yang menjadi gelanggang tuan rumah kepada pasukan Israel sejak serangan ketenteraan ke atas Gaza dilancarkan selepas insiden 7 Oktober 2023.
Dalam perlawanan yang diadakan di bandar Debrecen pada 8 September itu, sekumpulan kecil penyokong Itali dilaporkan membelakangkan padang ketika lagu kebangsaan Israel dimainkan, manakala sebahagian penyokong lain turut mengejek dan mempamerkan kain rentang bertulis ‘stop’.
Ringkasan AI
- Gennaro Gattuso merasa sedih dengan situasi di Gaza menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 termasuk perlawanan menentang Israel
- Itali berhadapan Estonia dan kemudian Israel, dengan perlawanan kedua menimbulkan kontroversi dan demonstrasi pro-Palestin di Itali
- Para penunjuk perasaan mendesak perlawanan menentang Israel dibatalkan, dan lebih banyak protes dijangka
- Jualan tiket perlawanan menentang Israel perlahan, dengan banyak tempat kosong dijangka di stadium
- Itali berada di tangga kedua Kumpulan I kelayakan Piala Dunia, bersaing untuk kelayakan automatik atau melalui play-off