Dua pemain Jeonbuk Hyundai Motors FC, Choi Chul Soon (dua, kiri) dan Lee Soobin (dua, kanan) menanduk bola ketika dicabar pemain Selangor FC pada perlawanan Liga Juara-Juara 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini pada Rabu. Foto Bernama
PENGENDALI Jeonbuk Hyundai Motors FC, Kim Do-heon mengakui Selangor bermain cukup baik ketika menewaskan pasukannya 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu.
Menurutnya, skuad Gergasi Merah melakukan persiapan rapi selain taktikal yang berkesan untuk mengekang para pemainnya mendapatkan peluang gol.
“Dalam perlawanan ini, Selangor mempamerkan persembahan yang baik. Namun, situasi seperti melengahkan masa dilakukan mereka perlu diubah.
“Bagaimanapun, dalam perlawanan ini, Selangor bersedia sebaiknya dan tidak beri banyak ruang kepada kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Selangor meledak dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Harith Haiqal pada minit ke-30 disusuli gol Ali pada (m-32) manakala gol Jeonbuk pula dijaringkan Kwon Chang-hoon pada (m-40).
Dalam pada itu, Do-heon turut mengakui dua gol pantas yang dijaringkan Selangor sememangnya memberikan tamparan kepada mereka untuk bangkit dalam perlawanan itu.
“Secara asasnya, fokus terhadap situasi bola mati yang memberikan gol pertama kepada Selangor agak mengecewakan. Tetapi, kami cuba sedaya upaya untuk kembali bangkit dan mendominasi perlawanan.
“Namun, kami sukar untuk mencari ruang masuk dan mencipta peluang. Kami melihat ke hadapan dan mahu mendapatkan kemenangan di laman sendiri menentang Selangor nanti,” katanya.
Selepas ini, kedua-dua pasukan akan kembali bertemu di Stadium Jeonju pada 7 November depan.