am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Terpedaya dengan janji manis lelaki dikenali di media sosial, seorang jururawat berusia 24 tahun di sini, kerugian RM40,000 selepas menjadi mangsa ‘love scam’.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang tinggal di Johor Bahru dan bekerja di Singapura, mendakwa kejadian bermula pada 22 Februari lalu.
Katanya, mangsa berkenalan dengan seorang lelaki dipercayai warga China menerusi media sosial yang dipercayai menggunakan identiti palsu.
“Selepas tujuh hari berkenalan, lelaki terbabit mengajak mangsa bertemu di bandar raya Johor Bahru pada kelmarin, namun meminta wang kononnya sebagai ‘jaminan’ untuk keluar dari tempat kerja.
“Mangsa yang termakan dengan pujuk rayu lelaki itu kemudian melakukan 11 transaksi pemindahan wang ke tiga akaun berbeza, dengan jumlah keseluruhan RM40,000.
“Bagaimanapun mangsa memaklumkan, selepas pembayaran dibuat, lelaki tersebut terus mendesak untuk menghulurkan wang tambahan. Mangsa kemudian menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam kes berlainan, Raub berkata, seorang wanita yang bekerja sebagai Perunding Tenaga Kerja turut diperdaya RM53,857 selepas ditipu dalam mendapatkan kerja sambilan secara dalam talian.
Katanya, tugasan diberikan kepada mangsa adalah mempromosikan laman web itu bagi penjualan barangan, di mana mangsa perlu membuat pembayaran dahulu dan dijanjikan akan mendapat komisyen serta modal bagi setiap tugasan yang berjaya diselesaikan.
“Mangsa yang menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis di Balai Polis Pelangi Indah pada semalam,” katanya.
Menurut Raub, hasil semakan dibuat melalui Mule CCID mendapati lapan akaun itu mempunyai 20 rekod jenayah.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd