Tokyo: Seorang juruterbang Japan Airlines (JAL) menyebabkan kelewatan tiga penerbangan selepas didapati mengambil alkohol sehari sebelum bertugas.
Kapten itu dijadualkan menerbangkan pesawat dari Honolulu, Hawaii ke Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair, Jepun, pada 28 Ogos lalu.
Namun, beliau menghubungi syarikat pada hari penerbangan untuk memaklumkan mengalami pengar dan mengakui minum alkohol seorang diri di hotel sehari sebelumnya.
JAL dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan, pihaknya sudah menugaskan juruterbang pengganti, namun insiden itu tetap menyebabkan kelewatan penerbangan dari Honolulu ke Chubu dan dua penerbangan lain ke Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.
Jelasnya, secara keseluruhan, 637 penumpang terjejas dengan dua penerbangan dilaporkan tertangguh sehingga lebih kurang 18 jam.
Susulan itu, JAL mengeluarkan permohonan maaf rasmi berhubung kejadian berkenaan.
“Kami memandang serius insiden ini walaupun usaha berterusan sudah dilakukan untuk mengelakkan kejadian berulang. Kami akan terus berusaha memastikan langkah pencegahan dilaksanakan,” kata syarikat penerbangan berkenaan.
Dalam pada itu, hari yang sama, pegawai Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun (MLIT) hadir ke ibu pejabat JAL di Tokyo bagi menjalankan audit kecemasan.
Mereka turut menemu bual kakitangan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.
Difahamkan, insiden berkenaan turut menambah siri kes berkaitan alkohol dalam kalangan juruterbang JAL sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada Disember 2024, dua juruterbang gagal ujian alkohol sebelum penerbangan dari Melbourne, Australia, ke Jepun sehingga syarikat menerima arahan penambahbaikan perniagaan daripada MLIT.
Pada April 2024 pula, seorang kapten JAL diberi amaran oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) kerana berkelakuan mabuk di sebuah hotel.
Sebagai langkah baharu, JAL melarang pengambilan alkohol ketika juruterbang berada di lokasi persinggahan selain memantau pekerja yang mempunyai sejarah minum berlebihan.
© New Straits Times Press (M) Bhd