Justin enggan terburu-buru berada di puncak

Justin enggan terburu-buru berada di puncak



PEMAIN perseorangan lelaki negara, Justin Hoh enggan terburu-buru untuk berada di puncak prestasi kerana mahu fokus mencapai impian tersebut secara berperingkat.

Kerap dibelenggu dengan isu kecederaan, pemain berusia 20 tahun itu mengakui dia ketinggalan berbanding rakan seangkatan, namun enggan berputus asa untuk 'mengejar' mereka.

Justin mengalami kecederaan pada tendon Achilles kiri tahun lalu dan ketika dia hampir kembali ke gelanggang awal tahun ini, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mengalami kecederaan lutut kanan.

Situasi itu menyebabkan dia tersisih daripada skuad Malaysia untuk Kejohanan Pasukan Badminton Asia 2024 (BATC).

“Ramai pemain yang sama 'batch' dengan saya sudah mencapai kemuncak, tetapi saya tidak panik.

“Usaha saya tersekat kerana isu kecederaan, jadi saya akan mengambil langkah demi langkah untuk mengejar,” katanya.

Rakan seangkatan dengan Justin termasuk pemain yang sedang meningkat naik seperti Alex Lanier dari Perancis yang juga pemenang Terbuka Jepun pada tahun ini.

Pemain lain ialah juara remaja dunia 2023 dari Indonesia, Alwi Farhan, juara remaja dunia 2022 dari Taiwan Kuo Kuan Lin dan Jason Gunawan dari Hong Kong.

Biarpun ketinggalan berbanding rakan-rakan lain Justin yang menghuni ranking ke-48 dunia telah meraih pencapaian yang membanggakan tahun ini termasuk memenangi Terbuka Slovenia dan Saipan International serta naib juara Terbuka Northern Marianas.

“Tahun ini, saya memperoleh pengalaman yang baik dalam kebanyakan kejohanan yang disertai,” ujar Justin.



Source link

OR

Scroll to Top