Justin naib juara Terbuka Macau

Justin naib juara Terbuka Macau


Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh terpaksa akur bergelar naib juara Kejohanan Badminton Terbuka Macau Super 300 selepas tewas kepada pilihan kelima dari Indonesia, Alwi Farhan pada aksi final yang berlangsung pada Ahad.

Turun sebagai bukan pilihan, pemain ranking ke-45 dunia itu memberikan tentangan sengit sepanjang set pertama dalam pemburuan kejuaraan sulungnya sebelum tunduk 15-21 dalam tempoh 28 minit di Macau East Asian Games Dome.

Bagaimanapun, Alwi yang kini menghuni tangga ke-25 dunia tampil lebih garang pada set kedua apabila mendahului 13-1 sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan selesa 21-5, sekali gus menutup cabaran Justin dalam masa keseluruhan 54 minit.

Pada aksi separuh akhir sehari sebelumnya, Justin mencipta kemenangan dramatik ke atas wakil India, Tharun Manneppalli dengan keputusan 19-21, 21-16, 21-16 dalam perlawanan yang berlangsung selama 81 minit.

Sementara itu, Alwi pula mengejutkan pilihan kedua kejohanan, Lakshya Sen dari India, menerusi kemenangan straight set 21-16, 21-9.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menjuarai acara perseorangan lelaki di Terbuka Macau adalah menerusi Datuk Seri Lee Chong Wei pada edisi 2010.



Source link

OR

Scroll to Top