Milan: Juventus mengambil keputusan drastik dengan menamatkan khidmat Thiago Motta dalam usaha menyelamatkan kempen mereka musim ini, terutama dalam perebutan slot Liga Juara-Juara.
Motta yang tiba di Turin dengan harapan membawa revolusi taktikal akhirnya gagal memenuhi jangkaan, ditambah dengan hubungan tegang bersama pengurusan kelab dan skuad yang dibentuk dengan perbelanjaan lebih €200 juta (RM1.03 bilion).
Harapan tinggi yang diletakkan ke atasnya musnah selepas Juventus bukan sahaja gagal bersaing dalam Serie A, malah tersingkir awal dari Liga Juara-Juara dan dimalukan Empoli dalam saingan Piala Itali.
Kekalahan besar kepada Atalanta (0-4) dan Fiorentina (0-3) menjadi paku terakhir dalam keranda era Motta di Allianz Stadium.
Bagi mengelakkan musim mereka terus hancur, Juve melantik bekas pemain mereka, Igor Tudor, sebagai jurulatih sementara sehingga penghujung musim.
Tugas utamanya adalah memastikan kelab itu layak ke Liga Juara-Juara, yang menjadi sumber pendapatan penting buat gergasi Itali itu.
Bagaimanapun, Tudor bukan pilihan jangka panjang.
Juventus dikatakan sedang memburu nama lebih besar untuk mengambil alih musim depan, dengan Antonio Conte, Gian Piero Gasperini dan Roberto Mancini antara calon utama.
Conte dilihat sebagai sasaran utama untuk membawa Juventus kembali ke puncak Serie A, namun keputusan akhir hanya akan dibuat selepas musim ini berakhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd