Mohd Juwaidi dan Fatin Nurfatehah berjaya memperbaharui rekod kebangsaan bagi acara memanah compound berpasukan campuran pada Peringkat Kedua Piala Dunia Memanah 2025 di Shanghai, China, pada Jumaat. Gambar fail
GANDINGAN pemanah berpengalaman negara, Mohd Juwaidi Mazuki dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh, berjaya memperbaharui rekod kebangsaan bagi acara memanah compound berpasukan campuran pada Peringkat Kedua Piala Dunia Memanah 2025 di Shanghai, China, pada Jumaat.
Rekod baharu itu dicatatkan ketika Mohd Juwaidi dan Fatin Nurfatehah menewaskan pasangan Nicolas Girard dan Clemence Fraigneau dari Perancis 159-154 dalam pusingan kedua saingan compound berpasukan campuran, demikian menurut laman web kejohanan worldarchery.sport.
Pasangan negara itu memadam rekod lama 158 mata yang turut dilakukan oleh mereka pada Peringkat Ketiga Kejohanan Piala Asia-Penentuan Ranking Dunia 2023 di Singapura.
Namun, hasrat Mohd Juwaidi dan Fatin Nurfatehah untuk mara ke final tidak kesampaian apabila mereka tewas di separuh akhir kepada gandingan Batuhan Akcaoglu dan Hazal Burun dari Turkiye 156-157, selepas sebelum itu cemerlang menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Jongho dan Sim Sooin di suku akhir.
Bagaimanapun, mereka masih berpeluang membawa pulang pingat sekiranya berjaya mencipta kejutan ke atas gandingan India, Abhishek Verma dan Madhura Dhamangaonkar dalam penentuan pingat gangsa yang akan berlangsung esok.
“Tak sangka juga boleh buat rekod kebangsaan tadi, sebab matlamat utama adalah untuk membidik dengan baik dan mara ke pusingan seterusnya.
“Mengenai perlawanan esok, agak sukar kerana lawan adalah India yang menduduki ranking nombor satu. Kami hanya akan buat yang terbaik, semoga nasib menyebelahi kami,” kata Fatin Nurfatehah ketika dihubungi Bernama, hari ini. – Bernama