KAABAH menerima Kiswah baharu seberat 1.4 tan sempena awal Muharam 1447 Hijrah. Foto Saudi Press Agency
KAABAH akan dihiasi dengan kain penutup iaitu Kiswah baharu sempena permulaan tahun 1447 Hijrah mengikut adat tahunan di Arab Saudi, lapor Agensi Berita Saudi (SPA) pada Selasa.
Proses penukaran Kiswah dilakukan selepas tujuh peringkat pembuatannya selesai dilakukan di Kompleks Raja Abdulaziz di Umm Al-Joud yang mengambil masa kira-kira 11 bulan.
Peringkat proses pembuatan ini termasuk penyediaan air khas dengan piawaian tertentu untuk pencucian; mewarnakan sutera mentah dengan warna hitam khas; menenun kain bercorak dan polos untuk Kiswah dan lapisannya; mencetak ayat-ayat al-Quran dengan ketepatan geometri; memasang dan menjahit bahagian-bahagian kain; menetapkan elemen bersadur emas; serta menyulam ayat-ayat al-Quran dengan benang perak dan emas berkualiti tinggi.
Pada akhirnya pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan mutu tertinggi sebelum ia dipasang di Kaabah. Setiap peringkat ini mencerminkan usaha besar dan tahap kemahiran tinggi dalam penghasilan Kiswah yang unik ini.
Kiswah baharu terdiri daripada 47 keping sutera hitam bersulam, mengandungi 68 ayat al-Quran yang disulam dengan benang perak bersadur emas 24 karat. Jumlah berat keseluruhan Kiswah ialah kira-kira 1,415 kilogram.