Riyadh: Kabinet Arab Saudi yang dipengerusikan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, mengesahkan sokongan penuhnya terhadap resolusi Sidang Kemuncak Tergempar Arab, yang dikenali sebagai “Sidang Kemuncak untuk Palestin,” di Kaherah, Mesir.
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan bahawa dalam mesyuarat Kabinet di Riyadh pada Selasa, Kabinet menegaskan penolakan sidang kemuncak itu terhadap pemindahan paksa penduduk Palestin serta gesaannya untuk menamatkan krisis kemanusiaan akibat konflik yang berterusan.
Kabinet juga mengulangi pendirian tegas Arab Saudi mengenai hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara merdeka berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Mesyuarat itu turut mengecam sekeras-kerasnya keputusan kerajaan pendudukan Israel untuk menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza, sambil menyeru masyarakat antarabangsa memainkan peranan dalam menangani pelanggaran itu, memastikan aliran bantuan berterusan, dan mengaktifkan mekanisme akauntabiliti antarabangsa.
Selain membincangkan isu serantau, Kabinet turut menekankan kepentingan kenyataan bersama Arab Saudi dan Lubnan yang menegaskan keperluan untuk melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Taif.
Ini termasuk pelaksanaan resolusi antarabangsa berkaitan, perluasan kedaulatan negara ke atas semua wilayah Lubnan, pemilikan senjata secara eksklusif oleh negara Lubnan, penegasan semula peranan kebangsaan tentera Lubnan, serta keperluan pengunduran tentera pendudukan Israel dari semua wilayah Lubnan.
© New Straits Times Press (M) Bhd