Kad merah, penalti lebur impian tiga mata Imigresen FC

Kad merah, penalti lebur impian tiga mata Imigresen FC


LAYANGAN kad merah diikuti sepakan penalti menyaksikan Imigresen FC terpaksa akur melepaskan peluang membawa pulang tiga mata apabila diikat Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Selasa.

Pengendali Imigresen FC, Yusri Che Lah, bagaimanapun menyifatkan insiden yang menyaksikan pertahanan Amirali Chegini menepis bola di atas garisan gol itu sebagai situasi yang sepatutnya dapat dielakkan.

“Bola sebenarnya boleh dikeluarkan tanpa menghadiahkan penalti kepada lawan. Selepas jaringan penyamaan itu, kami berada dalam tekanan dan kehilangan Amirali memberi kesan besar kerana baki permainan terpaksa diharungi dengan 10 pemain.

“Namun saya bersyukur pemain tidak menunjukkan rasa takut, malah terus mencuba hingga tamat perlawanan,” katanya.

Detik malang itu membolehkan Kelantan TRW menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Ifedayo Omosuyi pada minit ke-79, selepas Imigresen FC terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan Eduardo Sosa pada masa kecederaan separuh masa pertama, juga menerusi sepakan penalti.

Sementara itu, bekas pengendali Perak FC itu turut memuji semangat juang anak buahnya walaupun hanya sempat menjalani 16 sesi latihan, dengan pemain import baharu sempat bersama pasukan dalam enam sesi sebelum aksi berdepan Kelantan TRW.

Beliau juga mengakui perjalanan hampir lapan jam ke venue perlawanan menguji ketahanan fizikal pasukan, namun kagum apabila keserasian pemain mula terserlah lebih awal daripada jangkaan.

“Kami mendahului pada separuh masa pertama, dan ini menjadi titik perubahan selepas dua aksi awal musim,” ujarnya.

Imigresen FC selepas ini akan membuka kempen Pusingan 16 Piala FA menentang Terengganu FC di Stadium Negeri Pulau Pinang, Ahad ini, sebelum melayan kunjungan penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di venue sama pada 27 Ogos.

Mengulas cabaran tersebut, Yusri mengakui skuad kendalian Badrul Afzan Razali dan Xisco Munoz adalah lawan berprofil tinggi yang menuntut fokus maksimum.

“Terengganu pasukan mantap dengan barisan pemain tempatan yang sudah lama bersama.

“Walaupun bermain di Batu Kawan, kami anggap seperti aksi di tempat lawan kerana perlu menempuh perjalanan hampir 100 kilometer,” katanya yang akan menumpukan usaha memperbaiki kelemahan pasukan menjelang aksi Ahad ini.



Source link

OR

Scroll to Top