June 14, 2024

Kadar inflasi April 2024 kekal 1.8%


KUALA LUMPUR – Kadar inflasi Malaysia kekal 1.8 peratus pada April 2024 bagi tiga bulan berturut-turut dengan mata indeks mencatatkan 132.4 berbanding 130.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

DoSM berkata kenaikan inflasi pada April 2024 didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama restoran dan perkhidmatan penginapan, 3.5 peratus (Mac 2024: 3.0 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan, 3.1 peratus (Mac 2024: 2.6 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, 3.0 peratus (Mac 2024: 3.0 peratus).

Inflasi bagi restoran dan perkhidmatan penginapan meningkat kepada 3.5 peratus pada April 2024 berbanding 3.0 peratus pada Mac 2024, dipacu terutamanya daripada peningkatan subkumpulan utama perkhidmatan penyediaan minuman kepada 3.9 peratus  pada April 2024 daripada 3.7 peratus pada Mac 2024.

“Inflasi keseluruhan secara bulanan merekodkan kenaikan 0.2 peratus berbanding 0.1 peratus yang dicatatkan pada Mac 2024.

“Peningkatan ini didorong oleh penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.9 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan (0.8 peratus) dan restoran dan perkhidmatan penginapan (0.3 peratus),” kata jabatan itu dalam satu kenyataan mengenai Indeks Harga Pengguna (IHP) April 2024, hari ini.

Sementara itu, inflasi teras pada April 2024 meningkat kepada 1.9 peratus berbanding 1.7 peratus yang direkodkan pada Mac 2024.

“Bagi inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.8 peratus. Bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.2 peratus), Sarawak (2.8 peratus), Pahang (2.4 peratus) dan Selangor (2.2 peratus),” katanya.

Secara perbandingan kadar inflasi di Malaysia (1.8 peratus) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (4.4 peratus), Filipina (3.8 peratus), Amerika Syarikat (3.4 peratus), Indonesia (3.0 peratus) dan Korea Selatan (2.9). Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (0.2 peratus) dan China (0.3 peratus). – BERNAMA

 



Source link

OR

Scroll to Top