Kadet Palapes UiTM meninggal dunia akibat strok haba

Kadet Palapes UiTM meninggal dunia akibat strok haba



am@hmetro.com.my

Shah Alam: Kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi MARA (UiTM), pada 13 November lalu berpunca daripada strok haba dengan kegagalan pelbagai organ.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.01 pagi.

“Siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan sehingga kini sembilan saksi sudah diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima laporan yang dibuat bapa mangsa pada 15 November menyatakan menerima panggilan daripada Hospital Shah Alam pada 10 November memaklumkan anaknya dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, pengadu dimaklumkan rakan anaknya bahawa kejadian berlaku ketika sesi latihan di padang kawad yang dikendalikan seorang jurulatih Palapes UiTM Shah Alam.

Menurutnya, mangsa yang pengsan dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati mangsa menyertai Palapes di UiTM Shah Alam sejak akhir Oktober 2024 dan kini sedang menjalani ujian kecergasan sebelum latihan asas Palapes bermula tahun 2025.

“Pada hari kejadian, mangsa didenda melakukan tekan tubi oleh jurulatih kerana ketinggalan dalam sesi larian.

“Mangsa dilihat melompat-lompat sebelum terjatuh dan rebah,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mendapatkan rawatan awal di Zon Merah dan ketika rawatan mangsa dalam keadaan separa sedar serta mengalami suhu badan yang tinggi.

Katanya, rawatan awal sudah diberikan dalam usaha untuk hidrasi mangsa bagaimanapun ia tidak memberikan tindak balas positif.

“Mangsa kemudian mengalami kekejangan dan rawatan susulan diberikan sebelum beliau dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Tiada terkesan sebarang kecederaan luaran pada badan mangsa dan mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.01 pagi, 13 November.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Asisten Superintendan Mohd Khairi Kamaruddin di talian 012-2666025,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top