May 21, 2024

Kadi yang tegas kepada peniaga, sekalipun bapanya


Foto hiasan.
– Advertisement –

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 98)

– Advertisement –

SEORANG peniaga di Izmir mempunyai anak yang cerdas dan bijak sehingga menjawat jawatan kadi di bandar tersebut. Bidangkuasa kerjanya ialah memantau sukatan dan timbangan yang diguna oleh para peniaga di beberapa pasar di tempatnya.

Kebetulan beliau melintasi lorong di mana bapanya berniaga di sebuah pasar.

Apabila para peniaga tahu siasatan dibuat pada hari itu, dan mereka tahu bapa kadi ini menggunakan alat sukatan dan timbangan yang tidak rasmi, lalu mereka mengingatkannya supaya menyembunyikan alat yang digunakan itu dan menukarnya dengan alat sukatan dan timbangan yang rasmi.

Kadi itu datang. Dalam kepalanya banyak persoalan bermain mengenai bagaimana bapanya mengelat dan mengelak dalam sukatan dan timbangan. Beliau mahu mendedahkannya kepada orang ramai agar menjadi peringatan dan pengajaran kepada orang lain.

Apabila beliau berdiri di pintu kedai bapanya, beliau meminta supaya dibawa alat sukat dan timbangnya. Bapanya membawa alat sukat dan timbang dengan senang hati. Wajahnya berubah dari ceria ke muka yang masam apabila anaknya itu mengarahkan para pegawainya memeriksa kedai bapanya hingga mereka bertemu alat sukat dan timbang yang digunakan selama ini.

Kadi yang juga anak peniaga itu mengarahkan pegawainya memecahkan alat sukat dan timbang yang tidak menurut peraturan sukatan dan timbangan yang benar itu.

Peniaga itu tergamam. Disangkanya perkara itu berhenti di situ sahaja. Rupa-rupanya anaknya mendendanya pula sebanyak 50 nilai mata wang ketika itu dan menyebatnya dengan beberapa sebatan.

Usai hukuman tersebut, si anak berlutut di hadapan bapanya sambil berkata: “Wahai bapaku yang mulia. Aku hanya menunaikan kewajibanku kepada Allah, raja, negeri dan tempat kerjaku. Maafkan aku sekarang untukku bercakap denganmu sebagai seorang anak”.

Pasar menjadi riuh dengan apa yang berlaku dan dilihat. Masing-masing mengangkat suara memuji keadilan yang dibuat oleh kadi ini sekalipun kepada bapanya. (Al-Bayan al-Fasil bainal-haq wal-batil, Ali Fikri halaman 174-175)

Barangkali kita banyak bertemu dalam masyarakat, kisah yang diceritakan ini. Anak memang sayang kepada bapa. Namun, apabila ia melibatkan tanggungjawab kepada Allah, sifat amanah dalam bekerja dan tidak ada bias, maka keadilan tetap dilaksanakan tanpa mengira siapa di hadapannya.

Sifat-sifat seperti inilah yang ditekankan oleh Islam kepada semua dari kita. Anda pemimpin, peniaga, penjawat awam, hakim di mahkamah dan apa sahaja kedudukan anda, keadilan Islam tetap mengatasi yang lain. – HARAKAHDAILY 14/5/2024

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top