am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan tetap komited untuk menyerahkan 40 peratus hasil yang dikutip dari negeri itu seperti yang dijelaskan dalam jemaah menteri Persekutuan sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara yang dituntut kerajaan Sabah itu sudah dimuktamadkan dan pasti akan dilaksanakan selepas proses yang berkaitan diselesaikan.
Katanya, mesyuarat pertama berhubung penyerahan tuntutan itu dijangka diadakan pertengahan Januari depan bagi membincangkan kaedah dan ‘parameter’ berhubung pelaksanaan bayaran 40 peratus hasil Sabah itu.
Beliau berkata, mesyuarat awal di peringkat jawatankuasa teknikal sudah diadakan di antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bulan lalu.
“Mesyuarat pertama mungkin dibuat sebelum pertengahan Januari tahun depan mengenai kaedah, serta parameter dalam soal 40 peratus supaya betul-betul memberi keyakinan kepada rakyat Sabah.
“Ini bukan soal cari dalil, tentunya dalam musim pilihan raya sebelum ini dan juga kadang-kadang sesetengah pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang sinis, kita buat apapun mereka terus sinis.
“Tapi saya nak beritahu, rakan-rakan saya dari Jemaah Menteri pun ada, kita harus lihat secara tertentu, saya tak boleh kata kita serah pada Januari, kita ‘clear parameternya’ dulu, jumlahnya dan berapa peringkat pembayaran dalam setahun.
“Semua itu kita akan serahkan kepada jawatankuasa teknikal, kemudian jawatankuasa persekutuan-negeri sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri Sabah dan Jemaah Menteri Persekutuan.
“Tapi, apa yang sudah muktamad ialah kerajaan Persekutuan seperti mana yang saya sebut dalam Jemaah Menteri dan di Parlimen tetap komited untuk menyerahkan 40 peratus hasil kepada negeri Sabah,” katanya berucap pada Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Negeri Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama tiga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick serta barisan Kabinet baharu negeri Sabah.
Anwar berkata, perbincangan berhubung soal 40 peratus itu tidak sempat diadakan pada bulan ini disebabkan kesuntukan masa, selain empat jawatan menteri Persekutuan masih kosong dan perlu diisi terlebih dahulu.
“Mungkin bulan ini agak suntuk sedikit kerana kita ada kekosongan empat (menteri) sekarang, paling akhir Ewon, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dengan tamat Senatornya dan dua daripada yang sebelumnya, jadi empat yang patut saya isi.
“Jadi beri ruang kepada saya satu ke dua minggu ini memikir dan berbincang dengan ketua parti termasuk dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji untuk mendengar pandangan mereka sebelum dimukatamadkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, isu lain berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga akan terus dibincang dan dilaksanakan di bawah majlis sedia ada yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Belum ada dalam sejarah penubuhan Malaysia, kita ada komitmen dan pelaksanaan jauh lebih cepat iaitu sebanyak sembilan perkara sudah diputuskan.
“Ada beberapa yang lain lagi kita akan rujuk dan bawa kemudian kepada Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah dan luluskan untuk pertimbangan Jemaah Menteri dan Parlimen sekiranya perlu pindaan undang-undang.
“Penyerahan kuasa elektrik kepada Sabah sebelum ini terpaksa dilakukan dengan meminda undang-undang, begitu juga soal wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga melibatkan pindaan undang-undang Parlimen, itu semua kita boleh lakukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





