Arif (tengah) dan Alias (kanan) serta Azmi menunjukkan surat daripada FAM. FOTO: SINAR HARIAN
PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) didesak mengadakan pemilihan semula selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapati kongres serta Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Bagi Sesi 2024-2028 pada 19 Disember lalu didapati tidak sah.
Setiausaha Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Pasir Puteh, Arif Hassan berkata, ia selaras dengan arahan FAM supaya pemilihan dibuat semula kerana kongres dan pemilihan itu tidak menepati garis sebagaimana ditetapkan oleh badan induk tertinggi bola sepak negara.
“Pertama ada ahli gabungan KAFA yang dipanggil untuk menghadiri kongres itu antaranya kami (PBJ Pasir Puteh) dan Jeli (Baru) yang mana sepatutnya perlu hadir.
“Sebab itulah kami mahu mengadakan mesyuarat baru, yang lama sudah terbatal,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar mendesak supaya kongres dan pemilihan KAFA disegerakan di sini pada Selasa.
Hadir sama ialah, Pengurus Pasukan Bola Sepak Belia dan Piala Belia Kelantan FA, Datuk Azmi Ariffin.
Menurut beliau, pada kongres itu PBJ Pasir Puteh dan Jeli (Baru) mahu FAM dan Pesuruhjaya Sukan hadir sebagai badan bebas dalam membuat pemantauan bagi memastikan kelancaran.
![Arif (kanan) semasa sidang akhbar mendesak supaya kongres dan pemilihan KAFA disegerakan di Kota Bharu pada Selasa.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/01/28/2985724.jpg)
Arif (kanan) semasa sidang akhbar mendesak supaya kongres dan pemilihan KAFA disegerakan di Kota Bharu pada Selasa.
Katanya, tindakan yang dilakukan ini merupakan salah satu usaha menyelamatkan bola sepak Kelantan.
Arif memberitahu, hal ini kerana pihaknya mahu bakat-bakat baharu dalam sukan bola sepak tidak terkubur.
Sementara itu Bendahari PBJ Jeli (Baru), Alias Mohd Razalia berkata, beliau kecewa pihaknya tidak dijemput untuk menghadiri kongres dan pemilihan tersebut dengan dakwaan persatuannya telah dibatalkan.
“Kami tidak pernah menerima notis (pembatalan) terbabit sedangkan ada seorang wakil PBJ Jeli (Baru) telah dijemput untuk hadir ke kongres itu.
“PBJ Jeli (Baru) tidak pernah gagal dalam menghadiri kongres, namun tahun lalu kami tidak dijemput,” katanya.
Ujarnya, sehubungan dengan itu beliau mendesak supaya kongres baharu KAFA dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Hasrat kami satu, mahu KAFA kembali memajukan semula bola sepak Kelantan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya,” katanya.