Pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz meluahkan rasa kagum terhadap kesungguhan murid bermasalah pendengaran yang mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain Pendidikan Khas.
Menerusi satu perkongsian video di media sosial, bapa kepada dua anak lelaki itu memuji semangat yang ditunjukkan oleh murid murid berkeperluan khas yang tetap berusaha mempelajari ilmu agama walaupun berdepan kekangan pendengaran.
“Sedar atau tidak sekarang ini di sebahagian tempat tinggal kita ataupun dalam keluarga kita sendiri ada anak-anak atau mereka yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU). Saya suka panggil mereka dengan orang kelebihan upaya kerana mereka ini semua semangatnya tinggi dalam dakwah.
“Saya ada pengalaman beri dakwah pada orang buta dan bila saya lihat mereka yang kurang pada penglihatan ini, sebenarnya mereka mempunyai keinginan dalam dakwah yang tinggi.
“Bahkan dalam ayat al-Quran, mereka sangat sempurna, kadang-kadang mereka lebih baik daripada kita yang celik ini,” ujarnya.
Menurut suami kepada pengacara popular Neelofa ini, usaha memperkenalkan pendidikan khas dalam KAFA memberi peluang kepada golongan OKU untuk turut mempelajari agama dengan lebih tersusun serta dibimbing oleh tenaga pengajar terlatih.
“Jadi disebabkan sedemikian saya nak ambil masa ini untuk memuji Kementerian Pendidikan Malaysia kerana KAFA pada kalini menubuhkan pendidikan khas. Maknanya mereka sudah mula mengajar orang yang kurang penglihatan atau apa sahaja kategori OKU.
“Dalam masa yang sama, guru itu juga terlatih dan memberikan didikan agama dan menaikkan semangat mereka untuk berdakwah. Jangan rasakan kita ini kurang, walaupun ada saudara kita yang lain mungkin kurang fizikalnya tetapi semangat dakwah dia itu jangan pernah kita lunturkan,” tambahnya.
Terdahulu, buat julung kalinya Kelas Al Quran dan Fardu Ain Pendidikan Khas bagi murid bermasalah pendengaran diperkenalkan di ibu negara sebagai langkah memperkukuh pendidikan Islam yang lebih inklusif.
Inisiatif perintis itu dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan matlamat memastikan kanak kanak berkeperluan khas tidak tercicir daripada mempelajari asas agama seperti bacaan Al-Quran serta fardu ain.
Majlis pelancaran kelas khas tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Zulkifli Hasan di Pandan Perdana, baru-baru ini.
Menurut Dr Zulkifli, pelaksanaan program tersebut membuktikan bahawa setiap anak mempunyai hak yang sama untuk memahami serta mendalami ajaran Islam termasuk golongan OKU pendengaran.

“Semua murid yang hadir adalah anak anak OKU pendengaran. Mereka dilatih untuk membaca al Quran dan mempelajari fardu ain. Alhamdulillah, mereka nampak gembira dan kini boleh memahami ajaran al Quran serta agama kita. Ini menunjukkan semua anak anak termasuk mereka yang mempunyai keperluan khas boleh belajar agama,” katanya.
Pada peringkat awal, kelas tersebut melibatkan 10 murid bermasalah pendengaran yang dibimbing oleh dua guru terlatih menggunakan kaedah pembelajaran khas yang menumpukan kepada kefahaman al Quran serta asas fardu ain.
Pendekatan pengajaran turut disesuaikan dengan kemampuan murid bagi memastikan proses pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih efektif dan inklusif.
Dalam masa sama, Dr Zulkifli memaklumkan bahawa program rintis itu berpotensi diperluaskan ke lebih banyak lokasi di seluruh negara secara berperingkat.
Langkah tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan serta kesejahteraan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan keupayaan fizikal.
Melalui pengenalan KAFA Pendidikan Khas itu, lebih ramai murid berkeperluan khas dijangka berpeluang mempelajari ilmu agama dalam suasana pembelajaran yang lebih mesra dan inklusif.






