am@hmetro.com.my
Putrajaya: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kesal dengan tindakan sebuah media tempatan yang mengaitkan Ketua Polis Negara baharu dengan keahlian parti politik.
Beliau menegaskan, biarpun media berkenaan sudah membuat ralat dan memohon maaf, kecuaian terbabit amat serius kerana ia memberi kesan besar terutama membabitkan pemimpin tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melihat dari pelbagai sudut termasuk undang-undang serta mempertimbangkan untuk memanggil media berkenaan bagi memberi penjelasan.
“Saya kena sebut terus terang, kekesalan yang amat sangat. Bukan kekesalan biasa, kekesalan yang amat sangat di atas kecuaian yang dilakukan oleh media berkenaan dan saya anggap ini serius sebab yang dikaitkan itu adalah seorang penjawat jawatan tertinggi dalam satu organisasi.
“Jadi faktor yang dikongsi itu terlalu ketara sangat ketika profil biodata itu menyebut mengenai semua pengalaman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail (Ketua Polis Negara), di hujung itu dengan disengajakan dimasukkan (kaitan dengan parti politik) sedangkan pada ketika itu polis sudah mengeluarkan profil yang sahih dan rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Sebelum ini sebuah infografik yang memaparkan latar belakang Mohd Khalid disiarkan di media sosial dan menimbulkan kekeliruan mengenai pembabitannya dalam politik.
Saifuddin berkata, beliau kesal dengan tindakan media berkenaan yang gagal mengesahkan semua maklumat terbabit sebelum dimuat naik di platform mereka.
“Kalau itu keadaan dia, apa pilihan kita ada? Kalau kita mengambil tindakan keras, (kata) ini adalah Kerajaan MADANI yang tidak menghormati kebebasan media. Kebebasan (media ialah) melaporkan fakta yang tepat dan sahih, kebebasan untuk mengulas secara bertanggungjawab.
“Tapi bukan bebas untuk menyebarkan pembohongan yang memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat terhadap institusi polis. Hal ini mempunyai kesan besar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd