Kakitangan UPSI ditemukan maut terperangkap dalam stor berkunci

Kakitangan UPSI ditemukan maut terperangkap dalam stor berkunci


zahratulhayat@nst.com.my

Tanjung Malim: Seorang kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditemukan maut selepas terperangkap di dalam stor yang berkunci di fasiliti sukan universiti berkenaan di sini, awal pagi tadi.

Mohd Radzi Ariffin, 53, ditemukan dalam stor peralatan pembersihan di UPSI Sport Bowl.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.57 pagi yang meminta bantuan pihak polis untuk membuka pintu bilik yang berkunci tersebut.

“Satu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 9 kilometer dari balai dan tiba pada jam 2.07 pagi.

“Setibanya di lokasi, pintu tersebut didapati telah pun dibuka oleh pihak Polis Bantuan UPSI. Anggota bomba kemudiannya menjalankan operasi pemantauan di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabarodzi memaklumkan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi terkawal pada jam 2.17 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 2.36 pagi,” tambahnya.

Seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) terlibat dalam operasi tersebut.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top